Dari kiri - Leylah Fernandez dari Kanada dan Emma Raducanu dari Britain bersama trofi masing-masing. FOTO AFP
Dari kiri - Leylah Fernandez dari Kanada dan Emma Raducanu dari Britain bersama trofi masing-masing. FOTO AFP
AFP

New York: Pemain remaja British, Emma Raducanu melengkapkan status 'underdog' dengan merangkul kejuaraan unik dalam sejarah tenis apabila menjadi pemain pertama kelayakan memenangi kejuaraan Grand Slam menerusi kemenangan straight set ke atas pemain Kanada, Leylah Fernandez pada final wanita Terbuka Amerika Syarikat (AS), pagi ini.

Emma, 18, wanita pertama British dalam tempoh 44 tahun memenangi mahkota Slam selepas menewaskan pemain berusia 19 tahun dan ranking 73, Leylah, 6-4, 6-3 untuk merangkul hadiah utama AS$2.1 juta (RM10.3 juta).

"Saya tahu saya harus pamerkan aksi terbaik. Ia sememangnya perlawanan yang sangat sukar tetapi saya harungi peringkat yang tinggi," kata Emma.

Ia adalah pencapaian menakjubkan buat pemain remaja yang berada di ranking 150 dunia itu. Dia tidak tewas walaupun satu set dalam tiga perlawanan kelayakan dan tujuh perlawanan utama sejak dua minggu lalu di gelanggang New York dalam usia yang masih muda.

Pemain remaja Britain, Emma Raducanu meriakan kejayaan bersama trofi dimenangi pada Terbuka AS di New York. FOTO AFP
Pemain remaja Britain, Emma Raducanu meriakan kejayaan bersama trofi dimenangi pada Terbuka AS di New York. FOTO AFP

Sejak Virginia Wade memenangi gelaran pada 1977 di Wimbledon sebagai pemain wanita British yang merangkul kejuaraan perseorangan Slam, dengan Emma adalah pemain Britain pertama merangkul mahkota Terbuka AS sejak Virginia melakukannya pada 1968.

Ratu Elizabeth II antara yang individu pertama mengucapkan tahniah di atas kemenangan Emma.

"Ini adalah pencapaian yang luar biasa pada usia muda, dan bukti kerja keras dan dedikasi anda," kata Ratu Elizabeth II dalam satu kenyataan.

Virginia dan pemain lelaki legenda Britain, Tim Henman adalah antara 23,700 penonton yang hadir menyaksikan perlawanan pertama final Grand Slam membabitkan pemain bukan pilihan.

"Ia sangat bermakna apabila Virginia dan Tim berada di sini dan mereka adalah ikon serta legenda Britain sekali gus memberi keyakinan kepada saya untuk mengikuti jejak mereka," kata Emma.

Leylah yang akan menyambut hari lahir ke-19 esok menumpaskan juara bertahan, Naomi Osaka, pilihan kedua Aryna Sabalenka, Elina Svitolina (pilihan kelima) dan juara tiga kali Grand Slam Angelique Kerber dalam laluan epiknya ke final.

"Saya bangga dengan cara saya bermain dalam dua minggu ini," kata pemain Kanada itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 9:54 AM