BONNIE harapan emas negara.
BONNIE harapan emas negara.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Selepas empat hari berlangsung temasya Paralimpik Tokyo, mungkin ada khabar gembira buat kontinjen negara apabila juara dunia powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin turun beraksi esok.

Bonnie diletakkan harapan berdasarkan prestasi cemerlang dipamerkan atlet kelahiran Sarawak itu dan menjadi taruhan negara dalam kategori bawah 72 kilogram (kg) di Forum Antarabangsa Tokyo.

Di atas kertas Bonnie diletakkan sebagai pilihan juara berdasarkan pencapaiannya yang kini menghuni ranking nombor satu dan pemegang rekod dunia dalam kategori itu dengan angkatan 230kg.

Menurut jurulatihnya, Jamil Adam, Bonnie kini berada dalam keadaan terbaik dan bersedia dari segala aspek.

"Saya harapkan seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaan dia. Dia seorang atlet yang berdisiplin dan dia sentiasa mahu berikan yang terbaik. Selepas hampir seminggu berada di sini (Tokyo) dia sudah bersedia sepenuhnya untuk memberi khabar gembira kepada negara," katanya.

Atlet berusia 22 itu sebelum ini meraih emas di Piala Dunia Para Powerlifting Fazza Ke-11 di Dubai dalam kategori senior lelaki berat melebihi 72 kilogram (kg).

Dia memecahkan rekod dunia dengan angkatan 230kg yang sebelumnya dipegang Roohallah Rostami dari Iran dengan angkatan 229kg semasa di Para Asia Jakarta 2018.

Bonnie antara atlet yang dijangka mampu menghadiahkan pingat buat negara selain atlet olahraga, Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly, Cheah Leik Hou (badminton para) dan S Suresh (memanah).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 2:56 PM