AMDOUNI (kanan) ketika mengambil bahagian dalam acara 10000 meter di Tokyo. FOTO AFP
AMDOUNI (kanan) ketika mengambil bahagian dalam acara 10000 meter di Tokyo. FOTO AFP
Agensi

Tokyo: Pelari maraton Perancis, Morhad Amdouni mencetuskan kemarahan selepas dia kelihatan sengaja menjatuhkan deretan air minuman di atas meja sebelum mengambil botol yang terakhir ketika acara berlangsung di Sapporo semalam.

Insiden itu dirakam kamera ketika sekumpulan pelari memasuki jarak 28 kilometer daripada jumlah keseluruhan 42.195km yang perlu ditamatkan dan kini tersebar luas di media sosial.

Dengan suhu mencecah 30 darjah celsius, lebih suku daripada pelari terbabit terpaksa menarik diri di tengah perlumbaan selepas mengalami kepenatan melampau.

Petugas pantas meletakkan kembali botol air di atas meja manakala Amdouni berusia 33 tahun yang berasal dari Porto-Vecchio langsung tidak menunjukkan rasa bersalah dan meneruskan lariannya.

Namun dia hanya menduduki tempat ke-17 dengan catatan 2 jam 14 minit 33 saat dalam perlumbaan yang dimenangi Eliud Kipchoge dari Kenya.

Amdouni, pemenang pingat emas acara 10,000 meter dan gangsa 5,000m di Kejohanan Eropah 2018 di Berlin tetapi hanya mampu berada di tempat ke-10 dalam acara 10,000m di Tokyo.

Insiden itu mengundang kemarahan orang ramai yang bukan hanya membidas sikapnya yang tiada semangat kesukanan tetapi menganggap ia sikap paling memalukan pernah dilihat di Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 12:22 PM