LOCATELLI ketepikan dua botol Coca-Cola sebelum digantikan dengan air mineral. FOTO Agensi
LOCATELLI ketepikan dua botol Coca-Cola sebelum digantikan dengan air mineral. FOTO Agensi
Agensi

Rom: Pemain tengah Itali, Manuel Locatelli menjadi pemain terbaru mengetepikan botol Coca-Cola di meja sidang media Euro 2020, malah turut meniru Cristiano Ronaldo dengan menyebut 'Agua'.

Bintang Portugal itu kelihatan ngeri melihat minuman bersoda di atas meja ketika menghadiri sidang media awal minggu ini, apabila mengetepikan botol berkenaan dari pandangan kamera dan mengangkat minumannya (air kosong) sambil menunjukkan ke arah kamera.

Tindakan Ronaldo menyebabkan nilai pasaran Coca-Cola mengalami kerugian AS$4 bilion (RM16.4 bilion) tatkala pemain bola sepak terkenal itu menyeru jutaan peminatnya agar memilih untuk mengambil minuman air kosong.

Situasi yang hampir sama dapat dilihat semalam apabila pemain tengah Perancis, Paul Pogba, cuma bintang Manchester United yang beragama Islam itu mengetepikan bir Heineken.

Terbaru Locatelli pula menjadi pemain ketiga mengetepikan minuman yang menjadi penaja Euro 2020 dan menggantikan dengan minuman kosong miliknya sendiri.

Pemain tengah Sassuolo itu mempamerkan permainan berkelas dunia untuk membantu Itali mencatat kemenangan 3-0 ke atas Switzerland pagi tadi, dengan meledak dua gol dan dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Apabila dia tiba di sidang media selepas perlawanan dia segera mencari botol untuk diletakkan di tengah meja dengan mengetepikan minuman Coca-Cola dan meletakkan air kosong, sambil meniru gaya Ronaldo, 'Aqua' atau 'Acqua' mengikut bahasa Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 1:08 PM