Aksi pelumba basikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom di Sukan Olimpik Tokyo. FOTO Bernama
Aksi pelumba basikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom di Sukan Olimpik Tokyo. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelumba trek berbasikal negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom mengakui sebak melihat seniornya, Datuk Azizulhasni Awang meraih pingat perak dalam acara keirin di Olimpik Tokyo, hari ini.

Jelas Shah, Azizul yang juga rakan sepelatihnya itu sebenarnya lebih berhak untuk memenangi pingat emas selepas melihat kesungguhan dan keyakinan pelumba berusia 33 tahun sepanjang temasya kali ini.

"Saya sebenarnya sebak tengok dia naik (podium) sebab saya rasa pingat emas Olimpik itu memang kita punya. Perasaan sedih itu sebab kita terlepas peluang berikutan kesilapan dilakukan pelumba Australia (Matthew Glaetzer) yang membuka jarak besar dengan Jason Kenny.

"Itu merencatkan Azizul punya pecutan. Saya rasa kalau semua seperti dirancang, memang pingat emas kita punya," katanya.

Shah bagaimanapun berkata, sememangnya rezeki sudah tertulis untuk Azizul memperoleh pingat perak pada kali ini.

"Saya tahu kita boleh menang emas. Tapi apapun, ia (pingat perak) masih rezeki dan kita harus bersyukur. Saya sangat gembira dengan kejayaannya," katanya.

Pada perlumbaan final itu, Glaetzer yang pada satu ketika menduduki tempat kedua dilihat tidak melakukan gerakan untuk mengejar pelumba Britain, Kenny yang melakukan pecutan lebih awal dan akhirnya memenangi pingat emas.

Ia memerangkap Azizul dan barisan pelumba lain yang berada di belakang Glaetzer sekali gus gagal untuk merapatkan kedudukan dengan Kenny.

Azizul menamatkan perlumbaan final dengan meraih perak manakala pelumba Belanda, Harrie Lavreysen gangsa.

Shah tidak dapat meneruskan perjuangan selepas menamatkan saringan kedua suku akhir acara keirin hari ini di kedudukan keenam sekali gus gagal ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 1:50 PM