PELUMBA China (kanan) dalam Sukan Asia Hangzhou. FOTO Agensi
PELUMBA China (kanan) dalam Sukan Asia Hangzhou. FOTO Agensi
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menguatkan dakwaan rakan senegara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom seperti ada permainan kotor yang menafikan dirinya untuk memenangi pingat emas di Sukan Asia Hangzhou dalam acara keirin.

Menjelaskan situasi perlumbaan final keirin yang menyaksikan Shah meraih pingat gangsa, Azizul berkata, ramai tidak sedar bahawa pelumba tuan rumah, Zhou Yu yang memenangi pingat emas melakukan tindakan yang sepatutnya dihukum dengan dibatalkan kemenangannya.

"Pelumba dari China (Zhou Yu) sebenarnya ada memberikan jarak yang besar dengan motosikal sebelum motosikal keluar dari trek. Benda ini ada dalam peraturan iaitu mana-mana pelumba dalam acara keirin tidak boleh beri jarak lebih dari 5 meter (m) dalam posisi mereka sama ada di belakang motor atau antara pelumba.

"Kalau lebih daripada 5m, ada dua kemungkinan, yang pertama apabila perlumbaan tamat, contohnya pelumba China itu menang, kemenangan itu perlu dibatalkan. Tempat kedua naik tempat pertama, ketiga naik kedua dan keempat naik ketiga.

"Tapi yang paling biasa berlaku adalah perlumbaan akan diberhentikan serta merta. Pelumba yang melakukan kesalahan akan dibatalkan penyertaan sebab dia sudah kacau 'keamanan' perlumbaan dan perlumbaan akan dimulakan semula tanpa pelumba yang melakukan kesalahan itu.

"Pelumba dari China itu memberikan jarak yang saya nampak paling kurang 20m atau mungkin lebih 20m. Sama macam Olimpik Tokyo di mana pelumba Australia (Matthew Glaetzer) memberikan jarak yang jauh lebih kurang 20m juga.

"Pelumba Australia itu sepatutnya disingkirkan. (Di Sukan Asia) Kalau tanya pendapat saya, pelumba dari China sepatutnya menerima tindakan itu," katanya di saluran Youtube peribadinya, merujuk kepada situasi sama dialaminya ketika meraih pingat perak di Sukan Olimpik Tokyo.

Bagaimanapun jelas The Pocket Rocketman, komisar yang kebanyakannya dari negara tuan rumah tidak berbuat apa-apa selepas melihat pelumba yang memenangi acara keirin itu adalah pelumba China dan dia nyata kurang senang dengan insiden seperti itu.

"Mutu pengadilan yang tidak konsisten memang sudah lama (berlaku) dalam sukan ini. Saya harap dapat diperbaiki pada masa depan kerana apabila kita pergi ke temasya sukan, bukan macam pergi sukaneka sekolah.

"Kita buat persiapan ada banyak faktor seperti masa, tenaga, kewangan yang dilaburkan dan seluruh negara memberikan harapan kepada atlet negara mereka tapi bila ada ketidak seimbangan oleh kerana komisar tidak konsisten atau tak ada pengetahuan yang cukup, jadi susahlah," katanya yang tidak beraksi di Hangzhou kerana mengalami kecederaan ketika sesi latihan sebelum bermulanya temasya itu.

Bagaimanapun beliau tetap mengucapkan tahniah kepada Shah kerana masih berjaya menghadiahkan pingat gangsa dengan situasi yang sangat tidak menyebelahi rakan sepasukannya itu dalam acara keirin selain turut meraih gangsa menerusi acara pecut.

"Bagi saya perlumbaan itu (keirin) adalah milik Shah, cumanya ia dinafikan oleh beberapa faktor dan saya agak terkejut," katanya.

Shah menerusi laporan sebelum ini mendakwa keputusan dilakukan komisar tidak masuk akal dan apabila pihaknya mahu mengemukakan bantahan, aduan itu tidak dilayan oleh komisar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 2:33 PM