GAMBAR fail perenang AS, Michael Andrew yang diambil pada 23 Julai 2019. FOTO AFP
GAMBAR fail perenang AS, Michael Andrew yang diambil pada 23 Julai 2019. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Pegawai Olimpik Amerika Syarikat, hari ini, mempertahankan keengganan perenangnya, Michael Andrew untuk menerima suntikan vaksin untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020, sambil menafikan ia mencetuskan kekecohan dalam pasukan negara itu.

Andrew, 22, bersuara lantang ketika menolak vaksin Covid-19 dan memberitahu wartawan bulan lalu bahawa: "Saya tidak mahu memasukkan sesuatu ke dalam badan kerana saya tidak tahu bagaimana reaksinya."

Dalam satu temu bual minggu lalu, dia turut menyatakan: "Sebagai rakyat AS, saya mewakili negara ini dalam beberapa cara termasuk kebebasan membuat pilihan seperti itu."

Pendapat Andrew dikritik hebat bekas perenang tersohor AS yang sudah bersara, Maya DiRado, yang menyatakan rakan senegaranya itu mengutamakan kepercayaan sendiri berbanding kesihatan rakan sepasukan.

"Saya kecewa dengan keputusan Michael yang mengutamakan pendirian sendiri dan memberikan risiko kepada rakan sepasukannya," tulis DiRado, yang memenangi dua pingat emas di Rio 2016, di media sosial.

Ketua jurulatih skuad renang lelaki AS, Dave Durden berkata, dia tiada masalah dengan keputusan Andrew, yang layak buat kali pertama ke Olimpik menerusi acara 50m gaya bebas, 100m kuak lentang dan 200m individu rampaian.

"Saya rasa selesai dengan apa yang dilakukannya, di mana dia berada serta cara dia bertindak," kata Durden kepada Tokyo, bandar raya yang melaksanakan darurat kesihatan berikutan peningkatan jangkitan Covid-19 dalam masa beberapa minggu.

"Dia berada dalam keadaan baik dan kami kini menumpukan usaha memastikan dia dapat berenang dengan lebih pantas."

Ditanya mengenai reaksi rakan sepasukan Andrew serta komuniti atlet di Perkampungan Sukan, Durden berkata: "Tiada masalah dan kami tidak terkesan dengan perkara itu."

Durden berkata, Andrew mematuhi protokol kesihatan di Tokyo 2020 termasuk mengambil ujian saringan Covid-19, memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 7:05 PM