NURUL Najwa membantu Dalilah membersihkan jala.
NURUL Najwa membantu Dalilah membersihkan jala.
Oleh Noor Hidaya Tanzizi

Manjung: Sebahagian besar masanya dihabiskan untuk mengurus dan mengajar anak perempuannya, Nurul Najwa Md Radzi, 9, yang mengalami masalah pendengaran, rabun dan sukar bercakap.

Malah, dia sanggup berkorban mengambil upah melakukan pelbagai kerja bagi menampung pendapatan.

Itu pengorbanan Dalilah Zahir, ibu kepada dua anak dari Kampung Datu Seri Kamaruddin, Seri Manjung, di sini, yang turut berniaga air tebu di hadapan rumahnya.

Menurut wanita berusia 39 tahun ini, walaupun pendapatan yang diraih dengan menjual air tebu sekitar RM10 hingga RM15 sehari, ia belum cukup untuk menampung keperluan mereka sekeluarga.

Dalilah berkata, dia membuka gerai air tebu sejak lima tahun lalu bagi membantu suami, Md Radzi Ulong, 40, yang bekerja sebagai tukang kebun di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut.

Menurutnya, anak sulungnya, Nurul Najwa mempunyai masalah pendengaran tahap teruk dikenali sensorineural pada telinga kanannya sejak dilahirkan dan memerlukan bantuan alat pendengaran berharga RM7,000.

“Telinga kanannya memerlukan alat bantuan untuk mendengar terutama ketika di sekolah.

“Saya terpaksa memakaikannya lampin pakai buang kerana dia (Nurul Najwa) sukar bercakap dan tutur katanya kurang jelas, malah pertuturan adiknya (Nurul Izzah, 5) lebih lancar,” katanya ketika ditemui, di sini.

Dalilah berkata, walaupun anaknya mempunyai pelbagai masalah, Nurul Najwa menunjukkan kecemerlangan dalam pelajaran.

Menurutnya, masanya dihabiskan untuk menguruskan dan mengajar Nurul Najwa bertutur selain melakukan pelbagai kerja seperti mengambil upah mencari umpan ikan, menangkap ikan dan mengambil upah meracun untuk membantu suaminya mengumpul wang untuk membeli alat bantuan pendengaran anak sulung mereka.

“Doktor memberitahu yang dia mempunyai peluang untuk bertutur dengan lancar biarpun ia mengambil masa lama, namun kami akan sentiasa membantu dan tidak akan berputus asa untuk mendengar dia bertutur serta memanggil ibu dan ayah dengan lancar.

“Saya sanggup melakukan pelbagai jenis kerja kerana mahu lihat dia menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain yang mempunyai rakan sepermainan.

“Selama ini pergaulannya terbatas dan dunianya hanya di rumah bersama kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 8:00 AM