TENGKU Zaihan menjelaskan keputusan itu diambil selepas PSNT sudah hilang kepercayaan terhadap kredibiliti pucuk pimpinan PSM. FOTO Ihsan Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.
TENGKU Zaihan menjelaskan keputusan itu diambil selepas PSNT sudah hilang kepercayaan terhadap kredibiliti pucuk pimpinan PSM. FOTO Ihsan Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kemelut yang melanda kem Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) kian parah apabila giliran Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT) mengesahkan 'bercerai' dengan badan induk sukan sepak takraw itu berkuatkuasa hari ini.

Dengan pengumuman itu PSNT menjadi ahli gabungan kelima berpisah dengan PSM selepas Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ), Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak).

Terdahulu pemerhati sukan sepak takraw negara ternanti-nanti apa keputusan yang bakal diumumkan PSNT kerana sebelum ini badan induk sepak takraw negeri itu enggan mengambil keputusan terburu-buru berhubung ribut yang melanda PSM.

Presiden PSNT, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman menyatakan keputusan untuk menarik diri daripada menjadi ahli gabungan PSM terlalu berat, namun terpaksa diambil selepas mesyuarat khas PSNT secara dalam talian pada 12 Mei lalu sebulat suara bersetuju untuk berpisah dengan PSM.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri, Kuala Besut yang baharu mengambil alih jawatan presiden PSNT April lalu menjelaskan keputusan itu diambil selepas PSNT sudah hilang kepercayaan terhadap kredibiliti pucuk pimpinan PSM sebagai badan induk di peringkat kebangsaan kerana isu PSM dengan Persatuan Sepak Takraw Asia (Astaf) semakin berlarutan selain imej PSM semakin buruk dalam kalangan ahli gabungan Astaf.

"Keputusan untuk menarik diri terlalu berat untuk diputuskan, tapi dengan penuh rasa tanggungjawab selepas mesyuarat jawatan kuasa induk PSNT minggu lalu sebulat suara membuat ketetapan menarik diri daripada menjadi ahli gabungan PSM berkuatkuasa pada 18 Mei 2021 selepas PSM dilihat gagal menaikkan imej sukan itu di peringkat antarabangsa.

"PSM juga gagal dalam mengurus tadbir di peringkat kebangsaan serta gagal memberi penjelasan sebenar mengenai situasi yang berlaku antara PSM dengan Astaf dan ahli gabungannya.

"Kita memandang serius agar pembangunan sukan sepak takraw di peringkat negeri perlu diteruskan oleh PSM kerana ia adalah objektif utama sebagaimana yang terkandung dalam Akta Pembangunan Sukan 1997.

"Sebagai ahli gabungan PSM, PSNT selama ini sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya dan sokongan tidak berbelah bahagi dalam apa jua program yang diatur dan dianjurkan PSM khususnya dalam pembangunan serta kemajuan sepak takraw Malaysia.

"Jadi dengan kemelut yang melanda PSM, PSNT berpendirian sudah tiba masanya PSM memerlukan perubahan yang dinamik dan anjakan paradigma yang serius dalam memantapkan hala tuju serta pelaksanaan program dalam usaha mengembalikan semula zaman kegemilangan sukan sepak takraw tanah air selain meletakkan pada landasan tepat sekali gus dapat memperbaiki imej PSM di peringkat Asia dan antarabangsa.

"Kami juga berharap satu perubahan yang mantap dan penyusunan semula organisasi PSM yang perlu dibincangkan dan dilakukan persatuan sepak takraw negeri-negeri secara lebih telus dan adil demi pembangunan sukan itu," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

Sebelum ini Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail digantung selama 15 tahun oleh Astaf selepas didakwa atas empat pertuduhan termasuk pelanggaran Artikel 5.5 undang-undang Astaf dengan menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dengan harapan mendapat campur tangan berhubung keputusan pemilihan Astaf pada 1 Mac lalu.

Ahmad juga turut didenda sebanyak AS$25,000 (RM102,937) bagi menampung kos pendengaran kes berkenaan selain Astaf turut mengambil tindakan menggantung sementara PSM daripada terbabit dengan sebarang aktiviti berkaitan sukan itu berkuatkuasa 28 April lalu atas dakwaan melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Istaf dan Astaf 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 4:43 PM