Presiden Pestap, Datuk Seri Khairuddin Es Abd Samad. FOTO Ihsan Pestap
Presiden Pestap, Datuk Seri Khairuddin Es Abd Samad. FOTO Ihsan Pestap
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) terus kehilangan kepercayaan dari ahli gabungan apabila Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pestap) mengumumkan penarikan diri mereka daripada badan induk berkenaan sebentar tadi.

Presidennya, Datuk Seri Khairuddin Es Abd Samad berkata, mereka mengambil tindakan berkenaan selepas melihat PSM gagal menangani konflik dengan Persatuan Sepak Takraw Asia (Astaf) sehingga berdepan hukuman penggantungan dan denda.

"Malah PSM mengeruhkan lagi keadaan selepas secara peribadi gagal menjawab surat tunjuk sebab atau menghantar wakil dan secara tidak langsung gagal mematuhi Astaf untuk secara proaktif serta profesional menangani isu ini," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Ujarnya, keadaan berkenaan menjejaskan hubungan Astaf dan PSM sekali gus menghalang untuk memajukan sepak takraw negara yang kian merosot.

"Jadi dengan hukuman gantung dan denda ini membuatkan ahli gabungan hilang kepercayaan dan keyakinan kepada PSM untuk mengendalikan sukan sepak takraw negara. Jadi Pestap tetap mengambil keputusan dengan menarik diri berkuatkuasa serta-merta.

"Sehubungan itu kami merayu dan mendesak pihak berwajib seperti Menteri Belia dan Sukan melalui Pesuruhjaya Sukan mengambil serius dengan menangani kemelut dengan mengambil tindakan menubuhkan persatuan baru demi masa depan serta perkembangan sepak takraw negara tidak terganggu," katanya.

Dengan pengumuman itu Pestap menjadi ahli gabungan keenam berpisah dengan PSM selepas Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ), Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak) dan Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT).

"Esok dan lusa juga saya difahamkan akan ada lagi persatuan negeri lain akan menarik diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 11:18 PM