IBRAHIM menyifatkan tindakan Ahmad berundur daripada memegang tampuk kepimpinan PSM sebagai langkah berjiwa besar. FOTO KBS
IBRAHIM menyifatkan tindakan Ahmad berundur daripada memegang tampuk kepimpinan PSM sebagai langkah berjiwa besar. FOTO KBS
BERNAMA

Kuala Lumpur: Peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Ismail sebagai Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dilihat dapat membuka ruang terhadap usaha mencari titik penyelesaian konflik yang melanda badan induk sukan itu.

Pesuruhjaya Sukan (PJS) Ibrahim Mohd Yusof berpendapat PSM melalui Timbalan Presidennya Datuk Akramuddin Abdul Aziz dan 11 ahli gabungan persatuan itu, yang sebelum ini bertindak keluar PSM selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ahmad, perlu mencari jalan terbaik untuk memastikan pembangunan sukan berkenaan tidak terjejas.

"Sekarang isu kepimpinan sudah tidak timbul, jadi saya harap 11 ahli gabungan itu dapat menilai semula tindakan mereka itu agar satu penyelesaian yang baik dapat dilaksanakan bersama PSM," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau turut menyifatkan tindakan Ahmad berundur daripada memegang tampuk kepimpinan PSM sebagai langkah berjiwa besar, wajar dan terpuji lebih-lebih lagi dengan kemelut semasa yang melanda badan sukan itu.

Ibrahim juga merakamkan penghargaan terhadap jasa dan sumbangan Ahmad, yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, dalam membangunkan sukan sepak takraw negara sejak menyandang jawatan presiden persatuan itu pada 27 Disember 2002.

Ahmad, menerusi program terbitan sebuah stesen, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden PSM berkuat kuasa 12 tengah malam tadi atas rasa tanggungjawab terhadap konflik yang melanda badan induk sukan itu sejak akhir-akhir ini.

Pada 20 Mei lalu, Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) menyingkirkan PSM daripada menjadi ahli gabungan badan induk itu berkuat kuasa serta-merta selepas didapati bersalah ekoran tindakan Ahmad, sebagai Timbalan Presiden Astaf, menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 24 Februari lalu.

Tindakan Ahmad itu mengundang padah apabila difahamkan melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Astaf seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Sebelum itu, Ahmad digantung selama 17 tahun daripada menyertai sebarang aktiviti sepak takraw bermula 6 Mei atas beberapa kesalahan berkaitan surat yang sama.

Keadaan menjadi lebih parah apabila 11 ahli gabungan PSM menarik balik sokongan terhadap persatuan itu antaranya Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pestap) dan Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak).

Ibrahim turut memaklumkan pihaknya ketika ini masih mempertimbang permohonan 11 ahli gabungan yang keluar daripada PSM itu, yang dihantar pada 28 Mei lalu, untuk menubuhkan entiti baharu sukan sepak takraw kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 11:43 PM