MUTHU letakkan minimum lima dan maksimum lapan emas di Sukan SEA Vietnam. FOTO Bernama
MUTHU letakkan minimum lima dan maksimum lapan emas di Sukan SEA Vietnam. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tetap yakin dengan kemampuan atletnya biarpun sudah lebih setahun tanpa sebarang pertandingan kompetitif.

Presidennya, Datuk SM Muthu pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa pemilihan atlet ke temasya Sukan SEA Vietnam, hari ini meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian dua tahun lalu di Filipina iaitu lima emas.

Namun pada masa yang sama beliau yakin beberapa atletnya turut berpotensi menambah bilangan emas itu.

"Keadaan sekarang ini memang sedikit sukar buat atlet. Memang ada perancangan untuk menghantar atlet berpotensi ke luar negara namun terdapat kekangan kerana pandemik (Covid-19).

"Jika bercakap mengenai sasaran saya letakkan minimum lima dan maksimum lapan emas," katanya.

Pada mesyuarat itu juga, Muthu turut menyenarai 122 atlet terdiri daripada 65 lelaki dan 57 wanita dalam senarai panjang sebelum nama itu dimuktamatkan Ogos ini.

Turut disenaraikan adalah penyumbang pingat perak 100 meter (m) wanita Sukan SEA Kuala Lumpur, Zaidatul Husniah Zulkifli biarpun dia masih belum pulih sepenuhnya daripada pembedahan ligament lutut ACL (Anterior Cruciate Ligament) yang dijalaninya Jun tahun lalu.

Begitupun Muthu yakin tempoh yang ada pelari kelahiran Kedah itu mampu untuk sembuh dan kembali memberi saingan.

Kata Muthu, KOM akan memuktamadkan senarai atlet selepas berlangsungnya Terbuka Malaysia yang dijadualkan Jun ini.

Manakala Grand Prix Malaysia pada 11 dan 12 April akan menjadi medan penilaian prestasi keseluruhan atletnya.

Pada temasya dua tahun lalu di Filipina, skuad negara menyumbang lima emas, lapan perak dan lapan gangsa. Emas dihadiahkan oleh Muhammad Haiqal Hanafi (100m), Lee Hup Wei (lompat. tinggi), Hakimi Ismail (lompat kijang), Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Yap Sean Yee (lompat tinggi wanita).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 12:05 AM