Nadal (tengah) menyaksikan perlawanan persorangan Kumpulan B, Piala ATP antara Michail Pervolarakis dari Greece dan pemain Sepanyol, Pablo Carreno Busta di Melbourne. FOTO AFP
Nadal (tengah) menyaksikan perlawanan persorangan Kumpulan B, Piala ATP antara Michail Pervolarakis dari Greece dan pemain Sepanyol, Pablo Carreno Busta di Melbourne. FOTO AFP
AFP

Melbourne: Rafael Nadal akan sekali lagi mengetepikan saingan Piala ATP di Melbourne dengan kecederaan belakang sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai usahanya untuk memburu kejuaraan Grand Slam ke-21 di Terbuka Australia.

Pemain nombor dua dunia terlepas pertembungan pembukaan Sepanyol dengan Australia pada Selasa dan pemain berusia 34 tahun itu juga tidak dapat beraksi ketika dijadualkan berdepan pemain Greece, hari ini.

"Saya tidak berada dalam keadaan yang cukup baik untuk beraksi. Saya mempamerkan peningkatan sedikit demi sedikit, tetapi saya belum bersedia untuk beraksi dalam perlawanan intensiti tinggi," kata Nadal kepada stesen penyiaran Sepanyol, Vamos.

Nadal tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif sejak aksi separuh akhir ATP Final di London pada 21 November lalu.

Sejak itu penampilannya adalah dalam perlawanan pertunjukan menentang Dominic Thiem di Adelaide pada Jumaat.

Nadal mempunyai beberapa hari untuk pulih selepas semua perlawanan dalam acara pemanas badan bagi Terbuka Australia ditangguhkan kerana kes Covid-19 di hotel kejohanan.

Bagaimanapun, Pablo Carreno Busta dan Roberto Bautista Agut akan mengetuai cabaran Sepanyol menentang Greece pada hari ini.

Saingan Terbuka Australia dijadualkan bermula Isnin ini dengan Nadal juara 2009, memburu rekod untuk mengatasi Roger Federer yang turut mencatat 20 kejuaraan Slam.

Federer tidak menyertai kejohanan itu dan dijadualkan akan kembali ke saingan jelajah di Doha pada Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 9:44 AM