REAKSI Nadal selepas tamat perlawanan hari ini.
REAKSI Nadal selepas tamat perlawanan hari ini.
AFP

Melbourne: Rafael Nadal satu-satunya bekas juara Terbuka Australia selepas pemenang sembilan kali Novak Djokovic dihantar pulang membuka kempennya dengan bergaya hari ini.

Pilihan keenam dari Sepanyol itu mempamerkan pukulan kencang dan mengelirukan ketika menewaskan pemain Amerika Syarikat, Marcos Giron dengan straight set di Rod Laver Arena.

Nadal yang menewaskan Roger Federer untuk meraih gelaran Australia pada 2009 dan kini memburu rekod 21 kemenangan Grand Slam mudah mengatasi pemain ranking ke-66 dunia, Giron dengan 6-1, 6-4, 6-2 untuk mara ke pusingan kedua.

"Anda tak pernah tahu bila anda akan kembali selepas cedera. Ia sukar. Anda harunginya hari ke hari tetapi saya kekal positif," kata Nadal yang mengalami kecederaan kaki sebelum ini.

"Saya menang tiga perlawanan dan gelaran di sini minggu lalu. Saya berdepan bulan yang mencabar, detik sukar dan banyak keraguan tetapi saya mampu mengawal kecederaan kaki ini."

Nadal berkata dia masih lagi penat selepas dijangkiti virus Covid sebelum datang ke Australia, tetapi menurutnya: "Gejala itu tampak bagus. Saya hanya baring empat hari tetapi selepas itu kesihatan saya semakin baik dan ujian PCR saya negatif sebelum datang ke Australia.''

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 2:34 PM