NADAL mengesahkan tidak beraksi di ATP Acapulco. FOTO EPA
NADAL mengesahkan tidak beraksi di ATP Acapulco. FOTO EPA
AFP

Paris: Rafael Nadal berkata dia tidak akan beraksi di kejohanan ATP Acapulco yang berlangsung bulan depan kerana kecederaan belakang yang turut menyaksikannya menarik diri pada saingan di Rotterdam minggu depan.

Pemain nombor dua dunia itu kemungkinan tidak akan beraksi sehinggalah saingan Master di Miami bermula 24 Mac depan.

"Saya memohon maaf kerana tidak dapat menyertai Acapulco 2021," tulis bintang berusia 34 tahun itu di Twitter.

Nadal memenangi saingan di Acapulco pada 2005, 2013 dan 2020.

"Ia tempoh yang sukar untuk semua orang dan dengan situasi semasa saya yang mengalami kecederaan belakang, agak sukar untuk mengharungi perjalanan yang panjang.

"Saya merindui Acapulco dan sudah beraksi selama empat tahun berturut-turut tetapi tidak menyertainya kali ini. Harap akan tampil semula pada 2022," katanya.

Pemenang 20 kejuaraan Grand Slam itu mengalami kecederaan belakang di Melbourne yang menyaksikannya tersingkir pada peringkat suku akhir Terbuka Australia.

Bintang Sepanyol itu kemungkinan terpaksa melepaskan status pemain nombor dua dunia kepada Daniil Medvedev jika naib juara Terbuka Australia itu melangkah ke pentas final di Rotterdam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 10:18 AM