Eain Yow (kiri) menyertai kejohanan. FOTO File NSTP
Eain Yow (kiri) menyertai kejohanan. FOTO File NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow menewaskan wakil England, Declan James hari ini untuk menempah tempat ke pusingan ketiga Kejohanan Skuasy Klasik Qatar 2020 di Doha.

Pemain berusia 22 tahun itu mempamerkan persembahan yang meyakinkan untuk menewaskan Declan, pemain nombor 24 dunia dengan keputusan 13-11, 11-7 dan 11-8 dalam perlawanan pusingan kedua hari ini yang berlangsung selama 42 minit di Kompleks Skuasy dan Tenis Antarabangsa Khalifa, Doha.

Kemenangan tersebut sudah tentu membakar semangat pemain kelahiran Kuala Lumpur itu yang sebelum ini pernah tewas 2-3 kepada pemain Inggeris berusia 27 tahun itu dalam pertemuan pertama mereka di Grasshopper Cup 2019 di Zurich, Switzerland tahun lepas.

"Ini adalah perlawanan yang sukar melawan Declan. Dia selalu konsisten dan sukar untuk memaksanya keluar dari posisi. Namun, saya telah berlatih dengan bersungguh-sungguh dan sangat yakin pada diri sendiri," katanya seperti yang dipetik dari laman sesawang Persatuan Skuasy Profesional (PSA) www.psaworldtour.com.

Saya tahu bahawa permainan saya boleh menjadi cukup baik untuk membawa cabaran ke pusingan seterusnya dan saya hanya bermain dengan yakin," kata Eain Yow yang menjalani latihan di bawah jurulatih terkenal, Hadrian Stiff di Bristol, England sejak setahun lalu .

Dalam pusingan ketiga esok, beliau akan bertemu sama ada Richie Fallows dari England atau pemain nombor satu dunia dari Mesir, Ali Farag.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 10:57 PM