NORZA mahu pastikan lebih ramai atlet negara layak ke Olimpik.
NORZA mahu pastikan lebih ramai atlet negara layak ke Olimpik.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: "Jangan nafikan dan memperkecilkan kemampuan atlet negara." Demikian tegas pengerusi bersama Road To Gold (RTG), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria kepada pihak yang mempersoalkan kemampuan atlet negara untuk menyumbang pingat di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 terutamanya emas.

Jelas Norza, beberapa keputusan yang dibuat pada mesyuarat kedua Jawatankuasa RTG, Isnin lalu, mengambil kira pelbagai faktor terutamanya untuk membantu lebih ramai atlet layak ke temasya Sukan Olimpik Paris dengan misi utama memperoleh emas.

Mengambil contoh pemilihan pasukan hoki lelaki, Norza berkata, skuad bimbingan Arul Selvaraj sememanganya layak berada dalam RTG kerana menghuni ranking ke-10 terbaik dunia ketika ini dan berpeluang layak ke Sukan Olimpik Paris sekiranya memenangi pingat emas di Sukan Asia Hangzhou.

"Sebab itu kita punya tujuan ialah untuk menentukan lebih ramai kontinjen kita berada di Paris, sebab setakat ini setiap masa (penyertaan di Olimpik) 20, 30 atlet (sahaja).

"Kalau kita (mempunyai) lebih 50 (atlet), kita dapat dilihat sebagai sebuah pasukan yang besar, jadi kita harus pastikan lebih ramai lagi layak ke Olimpik.

"Jadi apabila kita suruh orang (atlet) yang 'top 10' layak, kebarangkalian untuk mereka mendapat pingat pada bila-bila masa, jika beraksi dengan bagus, mereka ada peluang dapat pingat emas.

"Banyak keputusan di Olimpik datangnya daripada (atlet di ranking) 'top 10' itu. Kita nak tambah jumlah kontinjen dan kebarangkalian untuk kita dapat pingat, terutama pingat emas itu lebih.

"Kita tidak mahu bersandarkan kepada tiga sukan sahaja iaitu badminton, terjun dan berbasikal," katanya ketika dihubungi.

Untuk pihak yang mempersoalkan kelayakan atlet badminton pula, Norza berkata, peluang harus diberikan kepada atlet negara untuk layak ke Sukan Olimpik Paris menerusi kempen kelayakan.

Mengikut syarat ditetapkan, sebuah negara dibenarkan menghantar maksimum dua pasangan untuk Sukan Olimpik dengan syarat mereka berada dalam kelompok lapan terbaik apabila tempoh kelayakan Olimpik berakhir pada penghujung April 2024.

"Untuk beregu, tak kisah beregu apa pun, kita mahu pastikan dapat hantar dua beregu. Jadi kita mesti memberi rangsangan untuk pastikan dua beregu layak dalam setiap acara.

"Kalau kita tak beri peluang kepada mereka waktu kelayakan (Sukan Olimpik), kita nak bagi lagi (peluang) waktu bila?

"Jadi jangan nafikan kemampuan mereka, lagi pun kebanyakan mereka sudah berada dalam Program Podium. Cuma kita memberi mereka satu lonjakan sebagai sumber inspirasi.

"Jadi janganlah kita kecil-kecilkan kebolehan mereka terutama atlet muda macam Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran). Pemain hoki kita pun bukan kesemuanya berada dalam keadaan baik.

"Mereka perlukan sokongan padu, jadi inilah salah satu daripada caranya. Apapun mereka ini akan melalui proses penilaian dari semasa ke semasa. Sebab itu untuk Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (beregu campuran), kita cakap bagi mereka masa, jadi terpulang kepada mereka," katanya yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pemerhati sukan negara, Datuk Dr Pekan Ramli menerusi laporan Arena Metro sebelum ini mempersoalkan mengenai beberapa keputusan dibuat pada mesyuarat kedua Jawatankuasa RTG, yang disifatkannya agak mengejutkan dan pelik kerana dakwanya RTG seolah-olah sudah lari daripada tujuan asalnya iaitu menyelaras usaha negara memburu pingat emas sulung di Sukan Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 8:11 PM