MIRNAWAN (kanan) pada sidang media prestasi pasukan hoki kebangsaan di Sukan Asia 2022 Hangzhou di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO HAZREEN MOHAMAD
MIRNAWAN (kanan) pada sidang media prestasi pasukan hoki kebangsaan di Sukan Asia 2022 Hangzhou di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pengurus pasukan hoki lelaki negara, Datuk Mirnawan Nawawi berharap pasukannya akan terus kekal di dalam program Road To Gold (RTG).

Menurutnya, tujuan utama pasukan hoki diletakkan di bawah RTG kerana berada di kedudukan 10 terbaik dunia dan misi untuk membantu layak ke Olimpik Paris 2024.

"Bagi saya, harus diberi peluang kepada pasukan hoki negara terus berada dalam program RTG sehingga aksi kelayakan Olimpik tahun depan.

"Sebenarnya harapan untuk kita layak belum lagi berkubur, masih ada satu peluang lagi pada Januari 2024 di Sepanyol atau Oman," katanya.

Kali terakhir Malaysian Tigers layak ke Olimpik tahun 2000 ketika Mirnawan sebagai pemain dan setelah lebih 23 tahun, dia masih berada dalam pasukan hoki yang sama cuba berbeza tugas.

Malaysia perlu mendapatkan tiga kedudukan terbaik secara keseluruhan sama ada di Oman atau Sepanyol untuk memastikan slot ke Olimpik Paris terjamin.

Terdahulu, ketika di Sukan Asia Hangzhou baru-baru ini, pasukan hoki lelaki antara mendapat perhatian selepas gagal melepasi peringkat kumpulan sehingga terlepas satu slot dari Asia ke Sukan Olimpik.

Mereka turut tewas kepada Pakistan dalam penentuan tempat kelima dan keenam.

Ketua jurulatih skuad negara, Arul Selvaraj berkata, dirinya akan mengkaji kembali kelemahan pasukannya terutama mengenai beberapa minit terakhir sering melepaskan jaringan kepada pihak lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 4:48 PM