PENYERANG skuad hoki negara yang akan beraksi di Liga Belanda, Faizal Saari.
PENYERANG skuad hoki negara yang akan beraksi di Liga Belanda, Faizal Saari.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Penyerang sensasi skuad hoki negara, Faizal Saari semakin teruja untuk tampil buat kali pertama bersama kelab ZSV Schaerweijde yang beraksi liga utama Belanda, Hoofdklasse.

Pemain berusia 31 tahun itu mengakui sejak tiba dua minggu lalu di Belanda, dia sudah dapat merasai kehebatan liga di sana menjelang aksi pertamanya dan perlawanan pertama kelab musim ini, 4 September depan.

"Selepas dua minggu berada di sini, saya dapat biasakan diri dengan kehidupan di Belanda. Memang tak sabar untuk beraksi di liga utama Belanda.

"Liga Belanda memang sangat bagus dan ramai pemain utama dari Australia, India dan England beraksi di sini. Ia memang bagus untuk saya kerana dapat mempelajari banyak lagi perkara.

"Saya rasa kita perlu menghantar lebih ramai lagi pemain negara beraksi di Belanda kerana ia bagus untuk pasukan hoki negara," katanya ketika dihubungi.

Mengulas mengenai kelab disertainya itu, Faizal berkata, Schaerweijde antara kelab mempunyai fasiliti lengkap.

Menurutnya, semua fasiliti sangat bagus termasuk lima padang hoki, gimnasium sendiri serta pelbagai kemudahan lain.

Schaerweijde akan tampil pada perlawanan pertama bertemu kelab Pinoke, 4 September depan dan jika Faizal beraksi, dia akan mencipta sejarah sebagai pemain pertama negara beraksi di liga utama di Belanda.

Sebanyak 12 pasukan termasuk Schaerweijde akan bersaing untuk musim 2022/2023 dengan Faizal mengikat kontrak bersama kelab itu selama 10 bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 2:42 PM