Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: "Usah mudah termakan provokasi pemain Perancis," kata pengurus skuad hoki remaja negara, I Vikneswaran menjelang aksi suku akhir Piala Dunia Remaja di Bhubaneswar, India hari ini.

Katanya, pemain remaja negara diterapkan dengan aspek kekuatan mental kerana mereka sedar bahawa Perancis bakal menggunakan senjata provokasi mengganggu emosi anak buahnya.

"Pemain kita bukan saja bersedia dari segi mengawal emosi tapi turut mempersiapkan diri untuk menahan permainan berbentuk fizikal. Saya yakin mereka sudah tahu apa yang harus dilakukan," kata Vikneswaran.

Menurutnya, Perancis dilihat sangat bersedia dalam saingan Piala Dunia Remaja kali ini kerana berjaya menumpaskan India dalam saingan peringkat kumpulan.

"Sebenarnya mereka dilihat lebih bersedia dan boleh beraksi lebih daripada apa yang dipamerkan ketika menumpaskan India. Jadi kita juga harus bersedia baik dari segi taktik, teknik dan fizikal. Perancis sudah pasti akan menggunakan kelebihan dari segi fizikal mereka, selain provokasi untuk mengganggu emosi pemain kita.

"Kita juga akan berdepan dengan pasukan yang bakal menjadi tulang belakang kepada skuad hoki mereka apabila Paris menjadi tuan rumah Olimpik 2024. Jadi persediaan mereka sangat teliti," kata Vikneswaran.

Beliau berkata, pengendali negara, Wallace Tan sudah merangka strategi untuk menghadapi pasukan yang dibimbing oleh Aymeric Bergamo yang juga juara Kumpulan B.

"Tahap kecergasan fizikal pemain juga sudah mula menunjukkan petanda yang baik. Mereka mula beri komitmen dan tumpuan penuh dalam segala perancangan pasukan," kata bekas pemain kebangsaan itu.

Jika skuad remaja negara berjaya mencatat kemenangan, mereka bakal bertemu sama ada Argentina atau Belanda, dua lawan yang ditemui sebelum ini untuk aksi pemanas badan di sana.

Kemenangan juga bakal menebus kehampaan skuad remaja negara yang tumpas sebelum ini kepada Perancis pada edisi 2013 di peringkat separuh akhir melalui pukulan shoot out.

Skuad hoki remaja negara berjaya mara ke suku akhir selepas muncul naib juara Kumpulan A selepas mencatat dua kemenangan dan sekali seri. Mereka memulakan kempen di Bhubaneswar dengan menumpaskan Chile 2-1, sebelum seri 1-1 dengan Belgium dan mengalahkan Afrika Selatan 4-3 Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 7:20 AM