REAKSI gembira barisan pemain Perancis menewaskan skuad negara. FOTO FIH
REAKSI gembira barisan pemain Perancis menewaskan skuad negara. FOTO FIH
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Impian skuad hoki lelaki negara untuk mara ke separuh akhir Piala Dunia Remaja di Bhubaneswar, India lebur apabila tewas 0-4 di tangan Perancis sebentar tadi.

Kekalahan itu turut menyaksikan skuad bimbingan Wallace Tan gagal menebus kehampaan tumpas kepada Perancis pada edisi 2013 di peringkat separuh akhir.

Perancis yang sebelum ini menewaskan pasukan tuan rumah, India membuka jaringan minit ke-14 apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Timothee Clement.

Mereka terus melebarkan kedudukan pada suku kedua dengan Clement sekali lagi cemerlang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-24 untuk meletakkan Perancis selesa mengatasi skuad negara 2-0.

Malaysia yang diketuai oleh Mohamad Akhimullah Anuar Esook cuba untuk mengatur serangan balas dengan beberapa percubaan padang namun berjaya dipatahkan penjaga gol lawan.

Memasuki suku ketiga, Mathis Clement tidak melepaskan peluang untuk mencetak nama sebagai penjaring ketiga buat Perancis selepas sekali lagi dihadiahkan pukulan sudut penalti minit ke-31 dengan Clement melengkapkan nama sebagai penjaring keempat pada minit ke-60.

Kesemua jaringan Perancis dihasilkan menerusi pukulan sudut penalti.

Untuk rekod skuad hoki remaja negara berjaya mara ke suku akhir selepas muncul naib juara Kumpulan A dengan dua kemenangan dan sekali seri.

Mereka memulakan kempen di Bhubaneswar dengan menumpaskan Chile 2-1, sebelum seri 1-1 dengan Belgium dan mengalahkan Afrika Selatan 4-3, Sabtu lalu.

Sementara Perancis yang dibimbing Aymeric Bergamo, mara ke suku akhir selepas muncul juara Kumpulan B dan rangkaian serangan mereka dilihat begitu tajam hasil tiga kemenangan besar termasuk membelasah Kanada 11-1 pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 9:02 PM