VIKNESWARAN berkata banyak perkara yang perlu difokuskan terutama permainan hoki di atas padang. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
VIKNESWARAN berkata banyak perkara yang perlu difokuskan terutama permainan hoki di atas padang. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Tiada tempoh rehat untuk skuad projek khas lelaki negara meskipun baru pulang daripada siri jelajah United Kingdom (UK).

Sebaliknya barisan pemain terus dikerah untuk memulakan sesi latihan bermula Isnin ini sebagai persiapan menjelang saingan Piala Dunia Hoki Remaja di Bhubaneswar, India dari 24 November hingga 5 Disember depan.

Skuad negara bimbingan Wallace Tan diundi bersama naib juara 2016, Belgium, Afrika Selatan dan Chile dalam Kumpulan A.

Pengurus skuad remaja negara, I Vikneswaran berkata, pihaknya menganggap tugasan di India adalah satu tanggungjawab yang perlu dipikul sebaik-baiknya dan atas faktor itu barisan pemain negara perlu terus mengalihkan fokus kepada kejohanan berprestij itu.

"Banyak perkara yang perlu kami fokuskan terutama permainan hoki di atas padang. Apabila sudah pulang dari UK, kami perlu melihat segala kelemahan yang perlu diperbaiki.

"Kalau kita lihat pasukan seperti Afrika Selatan, Chile dan Belgium kesemuanya sudah memulakan latihan sejak awal tahun kerana mereka tidak mempunyai sekatan pergerakan dan sebagainya.

"Jadi persiapan mereka berterusan berbanding skuad negara yang banyak lakukan latihan secara dalam talian. Harus diingat latihan secara dalam talian dan di atas padang sangat berbeza.

"Apapun saya melihat barisan pemain negara sangat mengejar kejayaan dan mereka ini harus diberikan dorongan untuk terus mempamer aksi cemerlang," katanya.

Skuad negara yang berjaya mencatatkan dua kemenangan, satu seri dan lima tewas sepanjang siri jelajah bermula pada 3 Oktober lalu diletakkan sasaran untuk mara ke suku akhir Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 4:26 PM