Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan menyertai Siri Jelajah United Kingdom. FOTO Ihsan MHC
Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan menyertai Siri Jelajah United Kingdom. FOTO Ihsan MHC
BERNAMA

Kuala Lumpur: Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan memerlukan masa untuk mencapai tahap kematangan sebelum dapat memberi cabaran sengit dalam Piala Dunia Remaja di Bhubaneswar, India, dijadual berlangsung 24 November hingga 5 Disember ini.

Pengurus pasukan I Vikneswaran mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki jurulatih, Wallace Tan, biarpun skuad remaja menunjukkan peningkatan yang baik menerusi persembahan memberangsangkan dalam dua perlawanan Siri Jelajah United Kingdom 2021 setakat ini.

Beliau berkata pemain negara mempunyai bakat dan mereka perlu diberi masa untuk bersiap sedia menghadapi Piala Dunia Remaja Lelaki.

"Agak malang bagi pasukan kerana mereka hanya berlatih selama dua minggu sebelum ke United Kingdom dan tidak pernah bermain sebarang perlawanan persahabatan sebelum ini namun mereka tetap menunjukkan peningkatan yang baik," katanya dalam satu klip video di laman Facebook Konfederasi Hoki Malaysia hari ini.

Skuad negara bermula langkah kiri apabila tewas 2-0 kepada Repton Hockey Club dan seterusnya tumpas 2-3 kepada pasukan bawah-21 England semalam.

Vikneswaran juga percaya Wallace telah membuat perancangan rapi dan telah berusaha keras dalam membantu meningkatkan prestasi para pemain namun proses yang sedang diterapkan itu memerlukan masa untuk membuahkan hasilnya.

Beliau pada masa sama berharap skuad negara akan kembali bangkit dalam aksi seterusnya yang perlawanan ulangan menentang pasukan bawah-21 England dijadual berlangsung 10.30 malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 8:34 PM