TNB masih berpeluang untuk memenangi kejuaraan liga serta Piala TNB. FOTO Ihsan MHC
TNB masih berpeluang untuk memenangi kejuaraan liga serta Piala TNB. FOTO Ihsan MHC
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Selepas terlepas satu daripada tiga trofi yang disasarkan musim ini, TNB semakin mempamerkan keyakinan untuk bangkit semula dalam usaha untuk memenangi saingan Liga Hoki Malaysia (MHL).

Ketua jurulatih TNB, Nor Azlan Bakar mengakui barisan pemainnya berada di landasan tepat untuk memenuhi impian itu selepas menduduki tempat kedua liga dengan berkongsi 10 mata bersama pasukan pertama, UniKL yang hanya dibezakan menerusi perbezaan jaringan.

TNB gagal untuk memenangi Piala Sumbangsih apabila tewas kepada UniKL menerusi penalti shootout selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama dan mereka kini masih berpeluang untuk memenangi kejuaraan liga serta Piala TNB.

"Pada saingan liga kali ini kita dapat lihat yang jumlah jaringan gol amat penting untuk membezakan antara pasukan pertama dan kedua.

"TNB masih fokus untuk mengejar impian memenangi kejuaraan liga dan untuk itu setiap pemain juga perlu kekal fokus pada baki perlawanan selepas ini.

"Saya akui masih ada beberapa kelemahan lagi yang perlu diperbaiki terutamanya untuk mendapatkan gol menerusi jaringan padang, jadi kami harus memperbaikinya," katanya.

Mengulas perlawanan seterusnya bertemu Maybank Ahad ini, Nor Azlan mengakui ia perlawanan yang cukup sukar kerana Maybank sering memberikan saingan sengit apabila bertemu anak buahnya.

"Ia adalah perlawanan yang sangat penting dan kami perlu membuat persiapan yang lebih rapi apabila bertemu Maybank," katanya.

Ketua jurulatih Maybank, Azrul Effendy Bistamam pula tidak mahu barisan pemainnya berdepan kekalahan lagi selepas tewas 2-4 kepada Terengganu Hockey Team (THT) pada perlawanan terakhir ketika mereka juga mensasarkan untuk memenangi trofi pada musim ini.

"Saya perlu menaikkan semangat dan moral pemain. Sudah pasti mereka kecewa kerana gagal mengutip tiga mata tetapi saya yakin mereka akan bangkit pada perlawanan seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 11:36 PM