PEMAIN Universiti Kuala Pemain Tenaga Nasional Berhad Faiz Helmi Jali (kanan) dan Norshafiq Sumantri (kiri) cuba mengekang gerakkan pemain UniKL Glenn Stewarts Tunner (tengah) pada Liga Hoki Malaysia TNB 2018. Foto fail
PEMAIN Universiti Kuala Pemain Tenaga Nasional Berhad Faiz Helmi Jali (kanan) dan Norshafiq Sumantri (kiri) cuba mengekang gerakkan pemain UniKL Glenn Stewarts Tunner (tengah) pada Liga Hoki Malaysia TNB 2018. Foto fail
Saiful Affendy Sapran


KETUA jurulatih Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nor Saiful Zaini Nasiruddin menegaskan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) bukanlah pasukan yang tidak mampu untuk ditewaskan oleh anak buahnya menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada saingan Liga Perdana esok.

KLHC sehingga kini dilihat berada pada prestasi terbaik selepas memenangi Piala Tan Sri P Alagendra serta Piala Sumbangsih dalam tempoh seminggu dengan kedua-duanya menewaskan Pasukan Hoki Terengganu (THT) menerusi penentuan penalti shoot-out.

Namun TNB juga turut berada di kemuncak prestasi selepas menewaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 3-2 pada perlawanan pertama liga semalam.

Saiful tidak menafikan kemampuan KLHC tetapi pada masa sama beliau cukup yakin dengan kemampuan barisan pemainnya yang langsung tidak menggunakan tonggak import.

“KLHC hanya memenangi kedua-dua perlawanan itu menerusi penentuan penalti shoot-out.

“Jadi sebenarnya mereka bukanlah pasukan yang tidak boleh ditewaskan. Apapun saya akui KLHC mempunyai dua pakar pukulan sudut penalti yang baik dan itulah sedikit membezakan mereka dengan kami,” katanya merujuk kepada tonggak import Jang Jong Hyun dan Muhammad Razie Abdul Rahim.

Jelas Saiful, dalam usaha untuk mencari tiga mata penuh esok, beliau menggesa barisan pemainnya supaya kembali fokus dan tidak memberikan ruang kepada lawan untuk mendapatkan pukulan sudut penalti.

“KLHC juga mempunyai barisan pemain import yang bagus tetapi tiada apa yang perlu digusarkan oleh barisan pemain saya.

“Kami sudah menerapkan sikap supaya mereka tidak perlu untuk berasa takut bertemu dengan lawan yang dibarisi tonggak import,” katanya.

Liga Perdana

Esok

TNB mln KLHC, 6 ptg

Maybank mln UniKL, 8.30 mlm

(Padang 2, Std Hoki Nasional Bukit Jalil)

THT mln TNB Thunderbolts, 8.30 mlm

(Std Hoki Batu Buruk)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 6:24 PM