Pasukan UniKL bergambar selepas menjuarai TNB Liga Hoki Malaysia 2019. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Pasukan UniKL bergambar selepas menjuarai TNB Liga Hoki Malaysia 2019. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Saiful Affendy Sapran


PENANTIAN selama sembilan tahun Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana, TNB Liga Hoki Malaysia (LHM) akhirnya tercapai juga selepas menewaskan Maybank 2-1 di Stadium Tengku Abdullah, Bangi, hari ini.

Dengan kemenangan itu, UniKL kini mengumpul 31 mata berbanding TNB di tangga kedua dengan 27 mata ketika kedua-dua pasukan masih berbaki satu perlawanan.

Menyertai Liga Perdana sejak 2011, UniKL belum pernah mengecapi kejuaraan liga dengan pencapaian terbaik sebelum ini muncul juara Piala TNB musim lalu.

Ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj mengakui lega kerana penantian selama ini akhirnya membuahkan hasil namun beliau sedikit kecewa dengan prestasi barisan pemainnya.

"Saya memang sudah menjangkakan Maybank akan mempamer aksi bersungguh-sungguh dan lebih banyak bertahan.

"Mereka berjaya melakukannya pada suku pertama. Saya juga agak kecewa kerana pemain tidak dapat menyempurnakan banyak peluang menerusi pukulan sudut penalti.

"Apapun kami tetap akan kekal fokus untuk perlawanan seterusnya bertemu TNB Thunderbolts," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Pemain UniKL, Valentin Verga (kanan) mengasak Pemain Maybank, Muhammad Haziq Samsul pada TNB Liga Hoki Malaysia 2019 di Stadium Tengku Abdullah, Bangi.
Pemain UniKL, Valentin Verga (kanan) mengasak Pemain Maybank, Muhammad Haziq Samsul pada TNB Liga Hoki Malaysia 2019 di Stadium Tengku Abdullah, Bangi.

UniKL dikejutkan dengan gol pertama pasukan pelawat menerusi gol padang Mohamad Zulhamizan Awang Abas seawal minit keempat.

Bagaimanapun juara bertahan Piala TNB itu berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan padang Rafizul Ezry Mustafa minit ke-26. Dua minit kemudian, tonggak import, Valentin Verga menambah gol kedua juga menerusi gol padang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 8:51 PM