(Dari kiri) Pakar Kandungan MGO, Mikhail Muttaqee; Pakar Kandungan Kanan MGO, Hazril Md Nor, dan editor video Akmal Aizan bergambar dengan trofi di karpet merah. - FOTO MyGameOn
(Dari kiri) Pakar Kandungan MGO, Mikhail Muttaqee; Pakar Kandungan Kanan MGO, Hazril Md Nor, dan editor video Akmal Aizan bergambar dengan trofi di karpet merah. - FOTO MyGameOn
Muhamad Shaifullah Tayep

Putrajaya: Platform media e-sukan terkemuka di bawah REV Media Group, MYGameOn (MGO) melakar sejarah apabila memenangi Anugerah Esports Media of the Year di Malaysia Esports Awards 2023.

Biarpun berdepan saingan sengit seperti WTM Today, Arked MY, Gamers Gazette MY, dan Esportsmy, MGO menonjol di antara pesaing lain dengan menunjukkan komitmen kepada kandungan berkualiti, keterlibatan dalam komuniti, dan keunggulan menyeluruh dalam media e-sukan.

Ketua Pegawai Eksekutif REV Media Group, Samuel Wee, berkata pengiktirafan ini adalah bukti komitmen pihaknya untuk menyampaikan kandungan terbaik dan memajukan pertumbuhan e-sukan di Malaysia.

Sementara itu, wartawan e-sukan dan pakar kandungan kanan MGO, Hazril Md Nor, berkata beliau tidak menyangka dan berterima kasih kepada semua pihak yang mempercayai platform dan kemampuan MGO.

"Alhamdulillah, bermula sebagai wartawan e-sukan, saya tidak pernah terfikir akan melangkah sejauh ini. Mari kita terus menaikkan e-sukan ke tahap lebih tinggi," katanya.

Malaysia Esports Awards 2023 diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 27 Januari lalu bagi menghargai sumbangan luar biasa pemain profesional dan pemain industri dalam ekosistem e-sukan di Malaysia.

Ia dianjurkan Alive Asia Events dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Persekutuan E-Sukan Malaysia (MESF), dan EsportsIntegrated (ESI), menyatukan panel 22 hakim terkemuka, termasuk tokoh terkenal dalam komuniti e-sukan seperti MasterRamen, Farouq (Flava), dan Abang Lord.

Pengundian untuk kategori anugerah diadakan sebelum acara, dengan pemenang akhir ditentukan panel hakim untuk memastikan proses pemilihan yang adil dan telus.

Kategori Esports Media of the Year diwujudkan bagi mengiktiraf entiti media yang menunjukkan kecemerlangan, inovasi, dan impak signifikan dalam landskap esports yang sangat kompetitif.

Malaysia Esports Awards tidak hanya menonjolkan pencapaian organisasi media yang luar biasa tetapi juga meraikan kecemerlangan dalam 16 kategori, termasuk Akademi Terbaik, Pemain E-Sukan Terbaik (Lelaki) dan (Wanita), dan Organisasi Terbaik Tahun Ini.

Antara pemenang terkemuka lain termasuk Cheng "NothingToSay" Jin Xiang, yang memenangi tiga anugerah: Pemain E-Sukan Terbaik Tahun Ini (Lelaki), Pemain Paling Bernilai (MVP) Tahun Ini, dan Pemain MOBA Terbaik Tahun Ini. Sementara itu, Natasha "Tashbunny" Hashim menerima Anugerah Hos E-Sukan Terbaik Tahun Ini.

Ikuti MGO di Instagram, TikTok, dan Facebook untuk kemas kini terkini, dan layari https://www.mygameon.my/ untuk mendapatkan berita e-sukan terkini, acara menarik, ulasan teknologi, dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 7:11 PM