POSTER Kejuaraan Mobile Legends: Bang Bang Malaysia. FOTO media sosial
POSTER Kejuaraan Mobile Legends: Bang Bang Malaysia. FOTO media sosial
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Arena e-sukan negara terus meriah apabila platform terkemuka sukan terbabit, Whales Esports Sdn Bhd menganjurkan Kejuaraan Mobile Legends: Bang Bang Malaysia (MLBB Malaysia Championship/ MMC Musim 1) buat julung kalinya di negara ini.

Kejuaraan terbabit sebagai antara inisiatif penting dalam misi Whales Esports untuk memeriahkan industri permainan dalam talian menerusi penyertaan lebih ramai pemain amatur dan peminat sukan terbabit yang lain.

Malah, kejuaraan peringkat negeri ini diharapkan dapat mengembangkan lagi e-sukan di Malaysia seterusnya merealisasikan impian melahirkan lebih ramai pemain bertaraf profesional di peringkat antarabangsa.

Menurut Ketua Pengarah Eksekutif Morgan LB inisiatif berkenaan juga dapat membentuk suasana e-sukan di kalangan orang ramai terutama belia di negara ini.

"Kami dengan sukacitanya mengumumkan musim pertama Kejuaraan Mobile Legends: Bang Bang Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem e-sukan Mobile Legends.

"Menerusi kejuaraan ini, Whales Esports komited untuk menerajui komuniti e-sukan dan membuka peluang kepada para pemain amatur untuk merasai debaran serta menimba pengalaman daripada kejuaraan e-sukan berskala besar yang unik serta menarik ini.

"Penganjuran ini juga dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam industri e-sukan seperti penerbit, krew produksi, penyiar, penganalisa dan sebagainya," katanya.

Menerusi MMC Musim 1, 14 kumpulan terbaik dari setiap negeri akan mara ke fasa seterusnya.

Berdasarkan 14 kumpulan itu, lapan kumpulan akan beradu kekuatan dalam acara playoff seterusnya menentukan Juara MMC Musim 1.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 8:20 PM