Nicholas (kanan) memberi ucapan.
Nicholas (kanan) memberi ucapan.
RAFIQ (kiri), Hasnul (dua dari kiri) Nicholas dan Ketua Media Interaktif MDEC Mohan Low (tengah) pada majlis perasmian.
RAFIQ (kiri), Hasnul (dua dari kiri) Nicholas dan Ketua Media Interaktif MDEC Mohan Low (tengah) pada majlis perasmian.
Fatin Farhana Japre


Peminat e-sukan yang berbakat besar namun ketandusan platform untuk mengetengahkan bakat kini boleh tersenyum lebar dengan pelancaran portal berita e-sukan Media Prima Labs baharu iaitu MyGameOn di acara Level Up 2017, baru-baru ini.

Portal dilancarkan dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Garena ini menyediakan pengisian maklumat mengenai berita, reviu, sesi wawancara dan acara terkini e-sukan dalam dan luar negara menerusi beberapa segmen menarik.

Menyasarkan peminat e-sukan lingkungan umur 12 hingga 25 tahun, MyGameOn boleh dikategorikan sebagai pusat hentian utama bagi peminat game.

Pengurus Besar Kanan Kumpulan Media Prima Labs dan Operasi Nicholas Sagau berkata MyGameOn akan menjadi platform menggilap dan mengetengahkan bakat pembangun game tempatan di negara ini.

“Kami sentiasa mendekati anak muda yang meminati e-sukan menerusi platform ini dengan menggilap dan membantu menaikkan nama mereka berpotensi kepada saluran yang betul.

“Mereka boleh menghantar draf produk yang direka kepada kami untuk dinilai atau menyumbang apa saja mengenai e-sukan bagi keluaran MyGameOn.

“Keunikan portal ini, kami tidak perlu bersaing dengan portal game sedia ada kerana boleh dikatakan satu-satunya portal yang fokus terhadap semua perkara berkaitan e-sukan.

“Isi kandungannya lebih menarik dan padat kerana pasukan kami bukan saja mendekati pemain profesional malah amatur yang berbakat bagi mencungkil kisah mereka secara lebih dekat,” katanya ketika ditemui pada pelancaran MyGameOn.

Selain itu, peminat game boleh mendapatkan informasi terkini pertandingan dan acara e-sukan, menyaksikan pertandingan di dalam dan luar negara secara ‘live streaming’ dan mendapatkan tiket eksklusif pertandingan e-sukan terbesar seperti FIFA daripada portal ini.

Tidak mungkin anda mahu melepaskan peluang menyaksikan empat pasukan berentap pada pertandingan pusingan akhir bagi Kejohanan FIFA Online 3 National Championship pada November ini.

Oleh itu, saksikan secara ‘live streaming’ di portal MyGameOn dan langsung di TV9.

Malah dalam masa terdekat, MyGameOn merancang untuk mewujudkan segmen khas mengenai pembangun atau pengasas game terkenal dari seluruh dunia.

Lebih menarik, MyGameOn turut menyediakan isi kandungan dwibahasa iaitu bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris kepada pembacanya. Ini bermakna inti pati MyGameOn tidak terhad kepada pembaca dalam negara dan mampu menyasarkan pembaca antarabangsa.

Nicholas berkata, pihaknya berbangga dengan pelancaran portal game ini yang bakal menjadi platform terbaik untuk peminat e-sukan berinteraksi antara satu sama lain.

“Matlamat utama kami adalah mendekati komuniti dan pemain game secara lebih dekat sekali gus menggilap bakat mereka yang berpotensi.

“Kebanyakan remaja hari ini juga amat berbakat tetapi sayangnya tiada pihak yang membantu membangunkan bakat mereka.

“Oleh itu, kami akan menggunakan pengaruh sedia ada untuk membantu mereka meningkatkan kemahiran menerusi saluran yang betul.

“Dunia e-sukan semakin meningkat naik di negara kita, sepatutnya semua portal perlu bekerjasama dan menyokong antara satu sama lain untuk membangunkannya.

“Oleh itu, kami berharap MyGameOn akan menjadi platform pembangunan bakat pemain game tempatan dan seiring dengannya,” katanya.

Turut hadir Pengurus Besar Kanan Kumpulan Media Prima Labs dan Operasi Nicholas Sagau, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad Datuk Kamal Khalid, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital Rafiq Razali, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Datuk Yasmin Mahmood dan Naib Presiden Bahagian Kandungan Kreatif dan Teknologi MDEC Hasnul Hadi Samsudin.

Layari laman web www.mygameon.my untuk maklumat lanjut dan berita terkini mengenai industri e-sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 1:48 PM