SESI penyampaian hadiah dan jersi ditandatangani Daxe (lima dari kanan) dan ManiiKa (lima dari kiri)
SESI penyampaian hadiah dan jersi ditandatangani Daxe (lima dari kanan) dan ManiiKa (lima dari kiri)
Hazril Md Nor


Berpeluang diterbangkan ke Singapura oleh Team Flash Ahad lalu untuk menyaksikan sendiri cabaran antara pemain e-sukan dari Paris Saint Germain Esports bersama pemain terbaik dari Asia, penulis akui pengalamannya sukar dilupakan.

Acara PSG Esports Challenge di Clarke Quay, Singapura itu menampilkan Lucas ‘Daxe‘ Cuilerier dan Johan ‘ManiiKa‘ Simon, dua pemain dari PSG Esports FIFA bertarung bersama pasukan tempatan Singapura, Team Flash dan juara Asia lain.

Pengasas Team Flash, Terence Ting berkata, pihaknya sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Paris Saint Germain (PSG) Esports buat julung kalinya.

“Kerjasama ini adalah bagus memandangkan ini pertama kali bagi kelab bola sepak PSG memasuki pasaran e-sukan di Asia Tenggara,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perancangan Team Flash untuk menyarungkan jersi organisasi itu kepada pemain Malaysia, Terence berkata, pihaknya ada mempertimbangkan perkara itu.

“Apabila kami memasuki pasaran e-sukan di Malaysia, sudah tentu kami ingin memberi impak berterusan dan kemampanan kewangan di sana.

“Kami sudah pun mempunyai pasukan e-sukan di Singapura dan Vietnam dan akan mempertimbangkan Malaysia sebagai yang seterusnya dalam perancangan jangka panjang,” katanya.

TERENCE (kanan) bersama Amraan (tengah) dan Joseph.
TERENCE (kanan) bersama Amraan (tengah) dan Joseph.

Sementara itu, Joseph Yeo dan Amraan Ghani dari Team Flash pula menganggap organisasi e-sukan mula meletakkan komitmen yang berterusan dalam industri ini.

“Sejak kemenangan di EA Champions Cup baru-baru ini, kami rasa sangat berbangga untuk menyertai Team Flash dan menerima bantuan bagi memastikan prestasi kami sentiasa konsisten menjadi pemain lebih baik.

“Berpeluang untuk berada dalam cabaran bersama pemain yang memenangi kejohanan dunia adalah satu pengalaman begitu berharga buat kami,” kata Joseph.

Acara itu turut mengumpulkan peminat e-sukan di terutama FIFA di Singapura yang hadir bagi menyaksikan peluang jarang ada ini. Pemain PSG menunjukkan persembahan yang luar biasa pada setiap perlawanan.

Daxe dan ManiiKa hadir bersama ahli kelab bola sepak Paris Saint Germain sempena jelajah musim panas dari 25 Julai hingga 4 Ogos ini.

E-sukan adalah salah satu pendekatan dari kelab itu untuk membawakan populariti sukan bola sepak sendiri ke rantau ini dan menghubungkannya dengan komuniti e-sukan secara lebih meluas.

ANTARA pengunjung yang hadir
ANTARA pengunjung yang hadir

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 12:54 PM