PESERTA yang menyertai program Jelajah Juara eSukan Malaysia yang diadakan di negeri Kelantan. -FOTO MSN
PESERTA yang menyertai program Jelajah Juara eSukan Malaysia yang diadakan di negeri Kelantan. -FOTO MSN
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Demi melihat pembangunan ekosistem eSukan di Malaysia terus berkembang, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Esports Integrated (ESI) memperkenalkan peruntukan khusus untuk komuniti dan industri eSukan iaitu Dana Esukan KBS dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM250,000.

Menurut kenyataan media dari ESI, dana itu bertujuan memberi galakan kepada penggiat industri eSukan tempatan untuk menganjurkan lebih banyak program, pertandingan dan merancakkan lagi ekosistem sukan berkenaan di negara ini.

Persatuan yang ingin mengadakan kejohanan, program pembangunan atau pembiayaan visa juga boleh memohon dana berkenaan.

"Pertubuhan kecil, kelab, persatuan dan syarikat yang memerlukan bantuan dana bagi penganjuran program, pertandingan dan acara eSukan dipelawa untuk memohon.

"Terdapat beberapa syarat iaitu peruntukan maksimum yang akan dipertimbangkan untuk setiap permohonan adalah sehingga RM25,000 sahaja dan semua program yang dipohon perlu menganjurkan sebelum 31 Januari 2024 serta syarat lain yang perlu dipenuhi," katanya.

Jelas ESI, setiap persatuan atau organisasi yang berminat perlu memohon dengan segera kerana tarik akhir permohonan akan ditutup pada pada 30 November 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 1:38 PM