GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Liga E-sukan Malaysia 2021 (MEL21) akan diadakan pada 10 Julai hingga 10 Sept yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM200,000.

Esports Integrated (ESI) dalam kenyataan hari ini memaklumkan MEL21 bertujuan menyediakan platform lebih luas membabitkan semua peringkat pemain termasuk amatur, semi-profesional dan profesional untuk bertanding dan mempamerkan bakat masing-masing.

Menurut ESI, liga itu akan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Liga berkenaan berlangsung secara dua peringkat membabitkan peringkat negeri dan kebangsaan dengan mempertandingkan empat permainan popular dalam kalangan peminat e-sukan - PUBG, Mobile Legends, FIFA21 dan Dota 2.

Pemenang di peringkat negeri akan berentap dalam Liga Kebangsaan yang dijalankan dalam format round-robin, yang mana pasukan atau pemain dengan pungutan mata tertinggi akan memenangi hadiah wang tunai RM20,000 dan diisytihar sebagai Juara Kebangsaan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam kenyataan berkata, penganjuran dan pelaksanaan MEL21 di bawah inisiatif ESI yang juga sebahagian daripada tumpuan strategik utama kementerian di bawah Pelan Pembangunan E-sukan Kebangsaan dan terkandung dalam Belanjawan 2021.

"Ia adalah untuk membangunkan satu ekosistem menarik, mampan dan inklusif untuk semua peminat e-sukan," katanya.

Pendaftaran untuk MEL21 telah dibuka. Maklumat lanjut mengenai pendaftaran dan jadual kejohanan boleh diperolehi dengan melayari http://www.esukan.gg.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 3:11 PM