Reezal (dua, kanan) menyerahkan kunci sebagai gimik pelancaran kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Impact Integrated, Ahmad Faris Amir (kanan) disaksikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (dua, kiri) dan Ketua Setiausaha, Kementerian Belia dan Sukan, Datuk M. Noor Azman Taib, ketika majlis pelancaran ESports Integrated (ESI). FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Reezal (dua, kanan) menyerahkan kunci sebagai gimik pelancaran kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Impact Integrated, Ahmad Faris Amir (kanan) disaksikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (dua, kiri) dan Ketua Setiausaha, Kementerian Belia dan Sukan, Datuk M. Noor Azman Taib, ketika majlis pelancaran ESports Integrated (ESI). FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menegaskan kewujudan Esports Integrated (ESI) tidak akan berlakunya pertindihan dengan peranan Persekutuan Esukan Malaysia (MESF).

Menurutnya, MESF tetap berfungsi sebagai badan sukan kebangsaan sama seperti antara Majlis Sukan Negara dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Mana ada bertindih, sebagai contoh ESI sama seperti MSN mengemukan inisiatif pihak kerajaan, manakala MESF adalah pelengkap, pelaksana di peringkat kebangsaan," katanya kepada media selepas melancarkan ESI hari ini.

ESI adalah sebuah inisiatif baru daripada KBS yang dikuasakan oleh Impact Integrated, untuk mendorong pertumbuhan dan kepelbagaian dalam industri e-sukan tempatan.

"Saya tidak nampak akan ada pertindihan, malahan saya sudah cakap tadi perlu ada keperluan bekerjasama dengan pemegang taruh. Sebab itu ada semua wakil pemegang taruh hari ini," katanya.

Ditanya mengenai adakah esukan akan sekali lagi menjadi perhatian pada Bajet 2021, Reezal Merican berkata, ia masih terlalu awal untuk memaklumkan perkara itu kerana perlu melihat kepada kemampuan kerajaan.

"Pada waktu ini kita ada sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan yang saya sudah kemukakan. Bagaimanapun, ia terlalu awal untuk maklumkan berapa jumlahnya.

"Paling penting ketika berdepan tempoh Covid-19 ini aktiviti atas talian cukup popular selepas kita mendapat maklumat komuniti esukan berjumlah 21 juta orang.

"Jadi saya sentiasa memberi penekanan program esukan perlu diteruskan, harap Perbendaharaan memahami esukan sangat dekat dengan anak muda," katanya.

Dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan tahun lalu mengumumkan peruntukan RM10 juta untuk esports yang diberikan kepada Kementerian Belia & Sukan dan RM10 juta bagi pembangunan digital disalurkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 5:47 PM