KBS menerusi Esports Integrated buat julung kalinya bakal anjurkan EsportsCon Malaysia 2024 pada 6 Januari tahun depan.
KBS menerusi Esports Integrated buat julung kalinya bakal anjurkan EsportsCon Malaysia 2024 pada 6 Januari tahun depan.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Esports Integrated (ESI) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) buat julung kalinya bakal menganjurkan EsportsCon Malaysia 2024 bagi meraikan industri e-sukan di Malaysia.

Program yang bakal dilangsungkan di Hub - Spacerubix, Puchong pada 6 Januari tahun depan itu dilihat mampu memberi manfaat kepada orang ramai.

Ia terutama kepada golongan muda untuk mendapatkan maklumat lebih mendalam berkenaan sukan dalam talian itu.

Menerusi kenyataan ESI, pengunjung boleh mengikuti siri perbincangan bersama tetamu jemputan yang akan memfokuskan kepada topik-topik berkaitan ekosistem

e-sukan di negara ini.

"Tetamu jemputan yang terdiri dalam kalangan pakar industri akan mengupas isu-isu seperti tadbir urus dan peluang kerjaya dalam e-sukan, serta banyak lagi.

"Terdapat juga pelbagai pengisian menarik menanti antaranya ekspo permainan dan teknologi, sesi perbincangan bersama pakar industri, pertunjukan perlawanan dan temu mesra bersama Key Opinion Leader (KOL),"menurut kenyataan ESI.

Tambahnya, bagi menambah manfaat serta ilmu pengetahuan lebih meluas mengenai e-sukan di Malaysia, ESI turut menyediakan pameran akademik oleh universiti, khidmat kaunseling kerjaya selain pertunjukan cosplay, demonstrasi permainan indie, peraduan mini dan cabutan bertuah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 12:50 PM