Para MEL21 menawarkan hadiah terkumpul berjumlah RM10,000.
Para MEL21 menawarkan hadiah terkumpul berjumlah RM10,000.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Buat pertama kalinya, Liga e-Sukan Para Malaysia 2021 (Para MEL21) diperkenalkan dan dibuka untuk pendaftaran menerusi platform e-sukan kebangsaan, esukan.gg dengan menawarkan hadiah terkumpul berjumlah RM10,000.

Para MEL21 adalah sejajar dengan objektif kerajaan untuk membangunkan arena e-sukan sambil menyediakan ekosistem yang selamat dan merangkumi semua komuniti permainan tempatan bagi membolehkan sesiapa sahaja menjadi pemain profesional tanpa mengira identiti masing-masing.

Ia adalah kejohanan yang akan berlangsung selama sebulan anjuran Techninier dan Esports Integrated (ESI), sebuah inisiatif di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan disokong oleh Majlis Belia Orang Kurang Upaya Malaysia (MBOKU).

Kejohanan yang diiktiraf oleh KBS ini adalah sebahagian daripada Pelan Rangka Tindakan E-sukan Kebangsaan KBS untuk menggalakkan keterangkuman di dalam ekosistem e-sukan kebangsaan menerusi pendekatan berasaskan programatik.

"Memberi peluang kepada semua belia adalah teras utama pelbagai program dan inisiatif di bawah KBS, termasuklah untuk e-sukan.

E-sukan kini adalah fenomena antarabangsa dan kian berkembang untuk menjadi salah satu industri terbesar di dunia.

"Kita perlu memastikan akses kepada semua peminat e-sukan untuk bersaing dan ini termasuklah mereka yang kurang upaya (OKU) Sebagai lanjutan kepada Liga E-sukan Malaysia 2021 (MEL21) yang melabuhkan tirai pada 1 September. KBS menerusi ESI berhasrat menganjurkan liga khas untuk OKU," kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Walaupun e-sukan berkembang maju sejak 20 tahun lalu, masih terdapat kekangan daripada segi peluang penyertaan dalam pelbagai pertandingan dan program.

Sebelum ini, tiada platform kebangsaan untuk pemain di kalangan OKU bersaing dan menunjukkan kemahiran mereka kepada pasaran lebih luas berbanding pemain bukan OKU. Dengan sokongan pemegang taruh dan agensi berkaitan, KBS berhasrat untuk membawakan kejohanan khas untuk OKU ke arus perdana seperti Sukan Paralimpik yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC).

"Para MEL21 menerapkan semangat e-sukan untuk semua dan harapan kami dengan penganjuran liga ini, lebih ramai pemegang taruh industri, organisasi dan penganjur acara mula memberikan perhatian kepada segmen OKU yang kurang mendapat perhatian.

"Selain daripada pertandingan, aktiviti e-sukan yang berkait seperti penstriman, pengacaraan dan pengulasan di dalam e-sukan adalah pilihan kerjaya yang sihat dan berdaya maju bagi OKU," kata Ketua Pegawai Eksekutif ESI, Ahmed Faris Amir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 9:05 PM