HADIAH wang tunai keseluruhan RM 30,000 bakal menjadi tarikan utama di kejohanan Nimbus Esports Festival. FOTO AMIRUL FAZLI ZULKAFLI
HADIAH wang tunai keseluruhan RM 30,000 bakal menjadi tarikan utama di kejohanan Nimbus Esports Festival. FOTO AMIRUL FAZLI ZULKAFLI
Amirul Fazli Zulkafli


Petaling Jaya: Hadiah wang secara keseluruhan RM 30,000 bakal menjadi tarikan utama dalam kejohanan Nimbus Esports Festival 2023 bertempat di Sunway Geo Avenue pada 25 dan 26 November depan.

Ketua Pengeluar Nimbus Games, Joseph Teng berkata, tujuan utama kejohanan ini diadakan adalah untuk membangunkan bakat sukan dalam permainan video selain melahirkan bakat baharu untuk sukan berkenaan.

"Ini kali pertama festival terbesar seumpamanya dianjurkan. Kami berharap ia akan menjadi acara tahunan dengan sokongan kuat yang diberikan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Esports Malaysia (MESF).

"Nimbus Esports festival akan menghimpunkan para penggiat sukan permainan video termasuk pemain, pengeluar dan pengulas permainan video seluruh negara dalam satu acara," kata dalan sidang media, hari ini.

Kejohanan berkenaan dijangka akan menarik lebih 20,000 peminat e-sukan dan sebanyak 120 pasukan akan mengambil bahagian.

Antara sukan yang dianjurkan adalah PUBG Mobile sebanyak 64 pasukan mengambil bahagian, Mobile Legends:Bang Bang (32 pasukan), Valorant (8 pasukan) dan Tekken (16 pasukan).

Terdapat juga beberapa pasukan profesional mengambil bahagian seperti Team Haq, HomeBois, Todak, RSG Malaysia dan MPX NSEA.

Selain pertandingan, para pengunjung boleh mengikuti pelangai aktiviti menarik seperti zon permainan video retro, coslplay corner, cenderahati retro dan lain-lain lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 4:00 PM