PEMAIN JDT, Gonzalo Cabrera diasak pemain UiTM FC, Rabih Ataya (kiri) ketika perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim semalam. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
PEMAIN JDT, Gonzalo Cabrera diasak pemain UiTM FC, Rabih Ataya (kiri) ketika perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim semalam. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Rizar Mohd Noor


WALAUPUN aksi Johor Darul Ta’zim (JDT) tampak kurang meyakinkan selepas sekadar menang tipis 2-1 ke atas pendatang baharu UiTM FC dalam saingan Liga Super, namun pengendalinya, Benjamin Mora berasa lega.

Beliau berkata, aksi dipamerkan pada perlawanan itu bukanlah yang terbaik berbanding ketika menang 2-1 ke atas Suwon Bluewings dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), baru-baru ini namun beliau merasakan UiTM sudah tentu mahu mencipta kejutan.

“UiTM FC adalah pasukan yang tidak ambil kisah jika tewas dan mereka bermain dengan baik selepas beraksi dengan corak bertahan serta menghalang gerakan berbahaya JDT, tatkala kami beraksi dengan baik pada 20 minit babak pertama.

“Selepas minit ke-20 hingga tamat babak pertama, setiap hantaran yang pemain saya lakukan tidak tepat dan kerap hilang bola. Itu yang menyebabkan rentak permainan tampak terjejas namun apabila babak kedua bersambung, barulah kami kembali kuasai permainan.

“Itulah bola sepak. Kami tidak boleh selesa kerana akan diberi tekanan oleh pasukan lawan yang mahukan kemenangan ke atas kami. Oleh itu kami kena lakukan sesuatu bagi pastikan corak permainan yang lebih konsisten mampu dipamerkan,” katanya.

Mora juga menegaskan beberapa isu yang perlu diperbaiki segera terutama corak permainan yang lebih pantas dan kemas selain memperbaiki ketepatan hantaran, malah kesabaran di dalam padang juga perlu ada pada setiap pemain supaya tidak terlalu gopoh.

Tambahnya, pemain juga perlu mengenali corak permainan lawan dan tidak terlalu tergesa untuk melakukan serangan kerana ia penting bagi memberi keselesaan buat pemain untuk menjana gerakan yng lebih efektik.

“Faktor kepenatan juga menjejaskan rentak permainan selepas mengharungi jadual perlawanan yang rapat. Malah gerak susun permainan yang lebih berkesan akan diperkemaskan lagi walaupun kami kerap melakukan latihan.

“Mungkin aksi ketika menentang UiTM FC percubaan gerak susun yang dilakukan kurang berkesan apabila pasukan lawan menjaringkan gol penyamaan dan jelas pemain agak kecewa. Kami akan pastikan perkara itu tidak berulang,” kata Mora.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 2:13 PM