BENJAMIN Mora tampak lega selepas skuad bimbingannya meraih kemenangan 3-0 ketika sidang media selepas perlawanan JDT dan Melaka United  FC (MUFC) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
BENJAMIN Mora tampak lega selepas skuad bimbingannya meraih kemenangan 3-0 ketika sidang media selepas perlawanan JDT dan Melaka United FC (MUFC) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
Rizar Mohd Noor
rizar@mediaprima.com.my


Johor Bahru: Badi dua keputusan seri yang dialami Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi tempoh hari bagaikan terlerai selepas melakar kemenangan 3-0 menewaskan Melaka United FC (MUFC) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Malah di raut wajah pengendali JDT, Benjamin Mora tampak kelegaan selepas mengutip mata maksimum atas kemenangan ke atas skuad kendalian Zainal Abidin Hassan tatkala menempuh detik suram keciciran mata ketika seri dengan Selangor FC 1-1 dan Perak FC 2-2.

"Sebelum aksi menentang MUFC, kami menilai apa yang berlaku ketika seri dengan Selangor FC dan Perak FC.

"Konklusinya kami tampil lebih bertenaga pada perlawanan menentang MUFC tatkala pemain menunjukkan karektor positif dan melupakan pengalaman pahit dua perlawanan lalu.

"Memang diakui jadual liga padat dan tindakan melakukan penggiliran pemain dan beberapa pemain di bawa masuk membarisi kesebelasan utama dan kelebihan yang ada tatkala kami mempunyai pemain yang bersedia untuk diturunkan.

"Walaupun tanpa Natxo (Insa) yang digantung dua perlawanan tapi kelibat Hariss Harun yang konsisten di posisi tengah adalah berita baik buat pasukan.

"Malah pemain yang jarang diturunkan seperti Adam Nor Azlin memainkan peranan penting di posisi pertahanan selain turut menjaringkan gol," katanya.

Mora juga menegaskan pada dua perlawanan lalu, barisan pemainnya gagal bermula dengan baik dan kerap tidak konsisten namun pada aksi berdepan MUFC, pemain tampil dengan permainan agresif dengan mendominasi hampir 70 peratus permainan.

Malah katanya, penampilan penjaga gol, Haziq Nadzli dalam skuad utama tatkala kerap beraksi bersama JDT II jelas tidak gugup apabila bijak membaca percubaan berbahaya pasukan lawan terutama pada awal permainan.

"Tindakan Haziq menepis bola rembatan Sony (Norde) di awal minit pertama beri lebih keyakinan kepada dirinya untuk beraksi konsisten menjaga gawang JDT agar tidak dibolosi dan dia tunjuk kematangan di benteng terakhir JDT.

"Tidak dinafikan kehadiran penyokong walaupun dalam skala kecil menyuntik lagi semangat pemain memperaga corak permainan mantap dan ia beri kesan positif terhadap pemain yang enggan mengecewakan peminat JDT," kata Mora

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 11:06 AM