MESSI (kanan) dan Javier Mascherano (tengah) cuba mengekang Paul Pogba dari Perancis pada Piala Dunia tahun lalu. — FOTO Agensi
MESSI (kanan) dan Javier Mascherano (tengah) cuba mengekang Paul Pogba dari Perancis pada Piala Dunia tahun lalu. — FOTO Agensi
AFP

PEMAIN terbaik dunia lima kali, Lionel Messi dijangka menamatkan ‘rehat’ lapan bulan dan dipanggil semula dalam skuad Argentina menjelang latihan terakhir menghadapi Copa America.

Namun bintang Barcelona berusia 31 tahun itu mengalami kekejangan hamstring dan jika dia bersetuju kembali, dia mungkin tidak cergas sepenuhnya untuk beraksi pada perlawanan persahabatan hujung bulan ini menentang Venezuela dan Maghribi.

Jurulatih sementara Lionel Scaloni dijangka menamakan skuadnya bagi aksi persahabatan itu awal pagi esok.

Messi tidak menyarung jersi biru muda dan putih pasukan kebangsaan sejak Argentina tersingkir di tangan juara Perancis pada Piala Dunia, Jun lalu.

Dia juga berdiam diri mengenai masa depannya di peringkat antarabangsa sejak lapan bulan lalu.

“Saya harap, mahu dan percaya Leo akan kembali ke pasukan kebangsaan,” kata Scaloni.

Messi terlepas enam aksi persahabatan sejak Piala Dunia di Russia namun pemerhati berasakan dia akan menjadi sebahagian daripada skuad yang akan berkunjung ke Brazil bagi Copa America pertengahan tahun ini.

Ketika dia mengumpul pelbagai koleksi trofi di kelabnya, Messi kesuntukan masa untuk menikmati kejayaan utama antarabangsa bersama Argentina.

Dia berada di pasukan yang kalah tiga aksi final kejohanan utama dari 2014-16 – pertama di tangan Jerman pada Piala Dunia di Brazil, kemudian dua kali kalah kepada Chile menerusi penentuan penalti pada Copa America, termasuk edisi ulang tahun seabad pertandingan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 1:49 PM