MESSI sedia diturunkan bersama skuad Albiceleste. -FOTO AFP
MESSI sedia diturunkan bersama skuad Albiceleste. -FOTO AFP
Agensi

Argentina: Lionel Messi cergas sepenuhnya dan cukup bermotivasi untuk diturunkan dalam aksi kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan menentang Paraguay, Uruguay dan Peru, kata pengurus pasukan Lionel Scaloni.

Messi menjalani latihan bebas bersama rakan pasukan Albiceleste awal pagi tadi, sekali gus menutup kebimbangan membabitkan pemain 34 tahun itu terhadap kecederaan lutut yang dialaminya ketika beraksi bersama Paris Saint-Germain September lalu.

"Dia berlatih tanpa masalah dan kelihatan baik saja.

"Dia datang bersama keinginan untuk bersama pasukan dan dia mahu berikan yang terbaik sama seperti pemain yang lain. Mengenai kecederaannya dia bermain dua perlawanan sejak itu dan semuanya baik saja.

Argentina akan menentang Paraguay di Asuncion pada hari Khamis sebelum turun melayan kehadiran Uruguay, Peru pada 10 Oktober dan 14.

Albiceleste kini berada di kedudukan kedua dalam 10 pasukan Amerika Selatan dalam kumpulan kelayakan dengan 18 mata dari lapan perlawanan, enam mata di belakang pendahulu, Brazil.

Scaloni berkata, kesebelasan utamanya menentang Paraguay di stadium Defensores del Chaco hampir sama seperti ketika mereka menentang Brazil di final Copa Amerika di stadium Maracana Julai lalu.

"Mungkin ada sedikit perubahan jika ada pemain yang berasa tidak selesa. tapi hampir 99 peratus sama dengan pasukan di Copa America," kata Scaloni.

Dia menambah bahawa pemainnya harus berwaspada terhadap cabaran dari Paraguay yang berada di kedudukan keenam dengan 11 mata dari sembilan perlawanan.

"Paraguay adalah pasukan yang sukar. Kami akan tunggu dan lihat cara permainan mereka tetapi cara permainan kami tidak akan berubah.

"Mereka bermain di tempat sendiri dan perlukan kemenangan. Saya fikir mereka akan lebih agresif dan lebih bertahan berbanding perlawanan terdahulu," kata Scaloni.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 12:04 PM