AKSI pemain Sri Pahang. FOTO FB Sri Pahang
AKSI pemain Sri Pahang. FOTO FB Sri Pahang
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad kecewa kerana misi skuad itu untuk melangkah lebih jauh dalam saingan Piala FA tidak kesampaian selepas tewas kepada Penang FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam tadi. 

Legenda bola sepak Singapura itu berkata, kekalahan itu memerlukan  skuad Tok Gajah perlu bekerja keras dan fokus dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia. 

"Sebenarnya, sasaran kita untuk sekurang-kurangnya ke separuh akhir tetapi perlawanan pertama tewas dan kini kita perlu lupakan untuk menumpukan sepenuhnya kepada Liga Super dan Piala Malaysia. 

"Saya harap semua pemain dapat meningkatkan kualiti persembahan terutama daripada motivasi untuk lebih bermain dengan lebih baik," kata jurulatih berusia 62 tahun itu. 

Pada perlawanan itu, Penang layak ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Sri Pahang 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa tambahan. 

Sebelum itu, lawan terlebih dahulu menjaringkan gol pendahuluan menerusi Muhammad Nabil Ahmad Latpi pada minit ke-39 manakala gol penyamaan tuan rumah dijaringkan Mykola Ahapov pada minit ke-78. 

Mengulas prestasi keseluruhan pada perlawanan itu, Fandi berkata, anak buahnya sudah mempamerkan kebangkitan terutama pada babak kedua apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan. 

Namun, katanya, seharusnya pemain lebih pintar dan mempamerkan kerjasama yang lebih mantap untuk membawa kejayaan bermakna buat pasukan. 

"Dalam bola sepak ini, apabila perlawanan ditentukan dengan sepakan penalti apa-apa akan berlaku dan saya tidak salahkan pemain apabila jaringan tidak berpihak kepada pasukan," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 2:34 PM