REAKSI Ronaldo (kiri) ketika meraikan jaringannya. FOTO Reuters
REAKSI Ronaldo (kiri) ketika meraikan jaringannya. FOTO Reuters

Riyadh: Cristiano Ronaldo percaya Liga Pro Saudi yang disertainya musim ini mampu menjadi salah satu daripada lima liga terbaik dunia.

Kapten Portugal itu menyertai Al-Nassr pada Januari lalu dengan kontrak yang dianggarkan oleh beberapa media bernilai lebih 200 juta euro (RM404.16 juta).

Ronaldo sudah beraksi dalam tiga liga utama dunia iaitu bersama Real Madrid di La Liga Sepanyol, Manchester United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Juventus di Serie A Itali.

Bintang berusia 38 tahun itu berkata kualiti pertandingan di Arab Saudi bertambah baik walaupun dia baru menyertai pasukan itu.

"Kami jauh lebih baik dan liga Saudi bertambah baik. Saya percaya tahun depan akan lebih baik.

"Dari masa ke semasa saya fikir liga ini akan menjadi antara lima liga terbaik di dunia tetapi mereka memerlukan masa, pemain dan infrastruktur lebih baik.

"Tetapi saya percaya negara ini mempunyai potensi yang luar biasa, mereka mempunyai orang yang hebat dan liga akan menjadi hebat," katanya kepada saluran Saudi SSC.

Terdapat sumber memberitahu Reuters awal bulan ini bahawa kelab Riyadh, Al-Hilal sudah mengemukakan tawaran rasmi untuk mendapatkan khidmat Lionel Messi bagi bersaing dengan Ronaldo.

Ronaldo menjaringkan gol kemenangan ketika Al-Nassr menewaskan pasukan pelawat, Al-Shabab dengan jaringan 3-2 yang menyaksikan Al-Ittihad terpaksa menangguhkan kejuaraan Liga Pro Arab.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 6:32 PM