RONALDO bersama trofi Piala Juara-Juara Kelab Arab. FOTO REUTERS
RONALDO bersama trofi Piala Juara-Juara Kelab Arab. FOTO REUTERS
Agensi

Ta'if, Arab Saudi: Cristiano Ronaldo meledak dua gol ketika Al-Nassr menewaskan Al-Hilal 2-1 pada aksi final Piala Juara-Juara Kelab Arab semalam.

Kemenangan di Stadium Raja Fahd itu memberikan Ronaldo trofi pertamanya bersama Al-Nassr selepas berpindah dari Manchester United.

Al-Nassr ketinggalan apabila pemain tengah Brazil, Michael membuka jaringan enam minit selepas rehat. Dia meraikan gol dengan mengajuk gaya 'Siu' Ronaldo.

Namun pemenang lima kali Ballon d'Or itu membalasnya dengan menyamakan kedudukan pada minit ke-74 bagi mengheret permainan ke masa tambahan.

Legenda Real Madrid itu kemudian meledak gol kemenangan Al-Nassr menerusi tandukan minit ke-98 ketika pasukannya kehilangan dua pemain selepas Abdulelah Al-Amri dan Nawaf Boushal dilayangkan kad merah.

Beberapa bekas rakan sepasukan Ronaldo terutamanya di Manchester United meletakkan tanda 'suka' di hantaran pemain sensasi itu dekat Instagram.

Ia termasuk Nani, Antony, Jesse Lingard, Eric Bailly, dan Federico Macheda manakala bintang United, Alejandro Garnacho menulis mesej ringkas 'inspirasi' bersama emoji trofi

.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 12:53 PM