PEMAIN Al-Hilal meraikan kemenangan 2-0 ke atas Al Ittihad. FOTO REUTERS
PEMAIN Al-Hilal meraikan kemenangan 2-0 ke atas Al Ittihad. FOTO REUTERS
Reuters

Jeddah: Kelab Liga Pro Saudi, Al-Hilal mencatat rekod dunia menerusi 28 kemenangan berturut-turut di liga utama apabila menewaskan Al-Ittihad 2-0 untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia, semalam.

Skuad bimbingan Jorge Jesus itu mengatasi rekod 27 kemenangan berturut-turut dilakar juara Liga Perdana Wales, The New Saints (TNS) untuk musim 2016-17.

TNS mengatasi rekod selama 44 tahun dipegang Ajax Amsterdam menerusi 26 kemenangan berturut-turut.

"Ini memang pencapaian menakjubkan dan saya mahu berterima kasih kepada semua orang di kelab ini yang memainkan peranan untuk rekod kemenangan ini," kata Jesus.

"Bagaimanapun, seperti yang saya sentiasa katakan, rekod tidak begitu penting berbanding trofi.

"Terpulang kepada semua orang di Al Hilal untuk memastikan kami menamatkan musim sebagai juara Liga Saudi Roshn dan mencapai sasaran dalam pertandingan merebut piala. Selepas itu, barulah kami boleh meraikannya."

Anak buah Jesus mendahului liga Saudi dengan 65 mata iaitu 12 mata di depan Al-Nassr yang diwakili Cristiano Ronaldo, tetapi tersingkir dari Liga Juara-Juara Asia apabila tewas menerusi penentuan sepakan penalti di tangan Al-Ain, Isnin lalu.

Al-Hilal yang muncul naib juara pada edisi 2022 akan berdepan Al-Ain di separuh akhir.

Mereka berpeluang meneruskan rekod itu apabila melayan kunjungan Damac pada aksi liga, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 8:52 AM