DOKU (kanan) mempamerkan permainan terbaik ketika membantu City belasah Bournemouth. FOTO Reuters
DOKU (kanan) mempamerkan permainan terbaik ketika membantu City belasah Bournemouth. FOTO Reuters
Reuters

Manchester: Manchester City kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan membelasah Bournemouth 6-1.

Pemain sayap muda Belgium, Jeremy Doku cemerlang memperagakan aksinya bersama penyandang juara itu apabila meledak gol pembukaan dan mencipta dua lagi jaringan ketika Bournemouth yang bergelut dibelasah di The Etihad.

Pasukan bimbingan Pep Guardiola mengumpul 27 mata selepas 11 perlawanan, lebih satu daripada Tottenham Hotspur yang melayan kehadiran Chelsea Selasa ini.

Gol Doku pada minit ke-30 seakan membuka 'empangan' buat juara treble itu yang menjaringkan tiga gol dalam masa tujuh minit.

Dia kemudian melakukan dua hantaran yang menghasilkan jaringan tatkala Bernardo Silva meledak dua gol untuk tuan rumah.

"Apa yang paling mengejutkan saya ialah betapa bijaknya dia apabila perlu membuat keputusan, ia sangat bagus," kata Guardiola mengenai Doku.

"Saya tidak mahu mengubah keadaannya, setiap perlawanan yang dia diturunkan, dia bermain dengan baik terutama di sini di tempat sendiri."

Dalam masa sama Guardiola berharap Erling Haaland akan segera pulih selepas pemain Norway itu terpaksa dikeluarkan ketika rehat.

Buku lali Haaland terseliuh di akhir babak pertama dan Guardiola tidak mahu mengambil risiko ketika City sudah mendahului 3-0.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 9:45 AM