PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola. FOTO Reuters
PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola. FOTO Reuters
AFP

PEP Guardiola menandatangani kontrak baru untuk kekal sebagai jurulatih Manchester City sehingga 2021 hari ini, selepas musim menakjubkan yang menyaksikan kelab itu menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris.

Guardiola adalah tonggak di sebalik kempen bersejarah itu di mana City menjadi kelab liga utama  Inggeris pertama mengumpul 100 mata selain menjulang Piala Liga.

Pengendali berusia 47 tahun itu mempunyai hubungan baik dengan pemain muda City yang meyakinkan beliau untuk terus kekal di Stadium Etihad.

“Saya sungguh gembira dan teruja. Saya bangga dapat bekerja di sini,” kata Guardiola.

“Saya suka bekerja dengan pemain kami setiap hari dan kami akan cuba melakukan yang terbaik bersama-sama pada tahun mendatang.

“Sebagai pengurus, anda perlu seronok apabila bersama pemain dan itulah yang saya rasakan.”

Guardiola hanya mempunyai baki kontrak setahun bersama City sebelum menandatangani kontrak lanjutan dua tahun.

Jika beliau menyempurnakan kontrak barunya, Guardiola akan berada di City selama lima tahun, lebih lama berbanding ketika mengendalikan Barcelona dan Bayern Munich.

Jurulatih Sepanyol itu meninggalkan Barcelona selepas empat musim sebagai pengurus sebelum bercuti sabatikal dan tiga tahun di Bayern sebelum menyertai City pada 2016.

City menjaringkan 106 gol dan 32 kemenangan, kedua-duanya rekod Liga Perdana  namun satu perkara yang mengecewakan mereka adalah kekalahan kepada Liverpool  pada aksi suku akhir.Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 12:05 PM