NORIZAM tegaskan TRW tetap bersaing di Liga M3 musim ini.
NORIZAM tegaskan TRW tetap bersaing di Liga M3 musim ini.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menegaskan skuad The Red Warriors (TRW) kekal akan bertanding dalam saingan Liga M3 musim ini.

Katanya, beliau menolak dakwaan pihaknya akan menarik diri apabila sebaliknya sudah bersedia mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) Mei ini.

"Kami akan bermain dan kekal ada untuk musim ini. Tidak ada perancangan untuk itu (menarik diri). Saya sahkan kami kekal bersaing dan persiapan berjalan seperti biasa," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Kelantan FC gagal meraih Lesen Kebangsaan sekali gus menyaksikan pemenang Piala Malaysia 2010 dan 2012 disingkirkan daripada Liga Super musim ini.

Kegagalan mendapatkan lesen itu disebabkan oleh tunggakan gaji musim lalu yang masih belum dilunaskan pasukan itu hingga memaksa Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menarik lesen TRW.

Terdahulu, dikhabarkan Kelantan FC bakal berkubur selepas wujud khabar angin yang pasukan itu mahu menarik diri.

Difahamkan, TRW ada mengutus surat penarikan diri kepada Liga Bolasepak Amatur (AFL) tentang hasrat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 12:21 PM