Cabrera cuba melepasi pemain Selangor pada aksi Liga Super. FOTO Ihsan Johor Southern Tiger
Cabrera cuba melepasi pemain Selangor pada aksi Liga Super. FOTO Ihsan Johor Southern Tiger
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) gagal mengekalkan momentum kemenangan selepas sekadar seri 1-1 menentang Selangor FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Lebih malang buat skuad kendalian Benjamin Mora dalam perlawanan itu apabila dua sepakan penalti pada babak pertama dan kedua gagal disempurnakan Gonzalo Cabrera dan Bergson Da Silva untuk peluang menambah jaringan.

Walaupun pada awal permainan ketika aksi memasuki minit keempat, tuan rumah bertindak mengancam kubu pelawat selepas bola sepakan lintang Arif Aiman Mohd Hanapi ditanduk Bergson Da Silva namun sekadar melepasi palang gol.

Tuan rumah bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan awal pelawat pada minit ketujuh selepas bola gerakan yang dimulakan Oliver Buff membuka ruang buat Ifedayo Olesegun merembat bola tepat ke penjuru kanan gol menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.

Bagaimanapun jaringan itu tidak bertahan lama selepas tuan rumah bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-12 menerusi Bergson yang bergandingan baik dengan Cabrera.

Ketika aksi berbaki empat minit babak pertama untuk ditamatkan kesilapan yang dilakukan Ashmawi Md Yakin ketika menghalang gerakan Arif Aiman di dalam kotak penalti menyaksikan pengadil, Hamdan Awang tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Kesempatan tuan rumah untuk menambah jaringan menerusi sepakan penalti gagal membuahkan hasil selepas Cabrera yang mengambil sepakan itu menyepak bola tersasar daripada gawang gol dan kedudukan 1-1 kekal hingga berakhir babak pertama.

Bersambung babak kedua, aksi kedua-dua pasukan tampak mengamalkan corak permainan berhati-hati dan dalam tempoh 15 minit perlawanan tiada serangan berbahaya dilancarkan sama ada skuad Harimau Selatan dan pasukan Gergasi Merah.

Sekali lagi tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-78 apabila Arif Aiman menjadi mangsa dan kali ini pemain gantian Ahmad Zikri Mohd Khalili melakukan terjahan dari belakang namun malang berganda buat JDT apabila sepakan yang diambil Bergson berjaya ditepis Mohd Khairul Azhan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 11:34 PM