PERTAHANAN Sabah FC, Gerald Gadit terjatuh ketika diasak pemain JDT, Arif Aiman di Stadium Sultan Ibrahim. FOTO Bernama
PERTAHANAN Sabah FC, Gerald Gadit terjatuh ketika diasak pemain JDT, Arif Aiman di Stadium Sultan Ibrahim. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) menepati ramalan untuk mara ke suku akhir selepas menewaskan Sabah FC 3-0 pada aksi Kumpulan D saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Selepas mengharungi lima perlawanan skuad bimbingan Benjamin Mora mengutip 12 mata maksimum malah mengekalkan rekod tanpa kalah tatkala berbaki dua perlawanan di tempat lawan menentang Petaling Jaya City FC, Sabtu ini dan Kelantan FC pada 9 November ini.

Rentak kemenangan tuan rumah bermula seawal minit kelima selepas hantaran jauh Shane Lowry sempat di dada Bergson Da Silva yang kemudiannya mengumpan leret kepada Leandro Velazquez yang merembat kencang menewaskan penjaga gol pelawat, Rozaimie Rohim.

Ketika tuan rumah begitu ghairah mengasak ke kubu skuad Badak, tindakan pantas Amri Yahya yang melakukan sepakan jauh dari jarak 30 meter pada minit ke-28 hampir memerangkap penjaga gol, Farizal Marlias yang sudah terkeluar dari posisinya dan mujur bola sekadar melepasi palang gol.

Usaha Corbin Ong yang melakukan sepakan lintang pada minit ke-34 menyaksikan bola terkena tangan Ummareng Bacok di dalam kotak penalti dan pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Bergson yang kembali menguatkan barisan serangan Harimau Selatan tidak berdepan masalah mencipta gol selepas merembat kencang tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Rozaimie dan meletakkan tuan rumah selesa mendahuloi 2-0.

Bersambung babak kedua, anak didik Datuk Ong Kim Swee tampak beraksi dengan cara selamat bagi mengelak gawang mereka menjadi `hidangan' Harimau Selatan apabila lebih gemar `berkampung' di kawasan sendiri sekali gus menyukarkan pemain tuan rumah melakukan percubaan berbahaya.

Ketika aksi berbaki seminit untuk ditamatkan tuan rumah terlepas peluang menambah jaringan apabila sepakan penalti Safawi Rasid mudah diselamatkan Rozaimie.

Namun pada masa kecederaan Bergson mencetak gol kedua peribadi apabila menanduk masuk sepakan percuma pemain gantian Safiq Rahim bagi memastikan tuan rumah menamatkan perlawanan dengan kemenangan 3-0.

Sementara itu dalam satu lagi saingan Kumpulan D, PJ City dan Kelantan FC terikat tanpa jaringan di Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bharu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 11:07 PM