SRI PAHANG FC menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi dua kelab dari Singapura. -FOTO Sri Pahang FC
SRI PAHANG FC menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi dua kelab dari Singapura. -FOTO Sri Pahang FC
Oleh Asrol Awang

Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) tidak meletakkan sasaran pada aksi persahabatan berdepan dua kelab dari Singapura di negara berkenaan pada 16 dan 18 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang, berkata dua aksi persahabatan itu lebih kepada persediaan awal menghadapi saingan liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025 yang akan membuka tirainya bulan depan.

"Sebenarnya kelab tidak meletakkan sasaran kerana memberi lebih fokus kepada persefahaman dan keserasian pemain lama dan baharu terutama pemain import.

"Pada masa sama, dua perlawanan itu juga adalah aksi pramusim sebelum Liga M bermula Mei depan, buat skuad kendalian Fandi Ahmad dalam menilai prestasi semasa di kalangan pemain.

"Mengikut perancangan, Singapura adalah destinasi pramusim Sri Pahang musim baharu ini dan sebaik pulang dari Singapura, beberapa perlawanan persahabatan akan diadakan.

"Kita jangkakan persembahan terbaik mampu diterjemahkan Sri Pahang musim baharu ini terutama bakal beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Temerloh," katanya.

Di Singapura, skuad Tok Gajah akan berdepan Albirex Niigata pada 16 April dan Geylang International FC (18 April).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 2:42 PM